Latheefa Koya ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding.
(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Kerajaan Selangor hari ini, gagal dalam rayuan semakan
kehakiman yang mencabar syor persempadanan semula Dun dan Parlimen di
negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmadi
Asnawi, yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk
Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan kerajaan negeri itu
selepas mendapati permohonan berkenaan tidak bermerit.
Melalui penghakiman dibacakan oleh Vernon, korum itu bersetuju dengan
hujahan Kerajaan Selangor bahawa mereka mempunyai locus standi (hak yang
sah di sisi undang-undang) untuk mencabar cadangan persempadanan itu,
kerana ia adalah salah satu entiti dinyatakan di bawah Seksyen 5 Jadual
ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun korum itu bersetuju dengan hujahan oleh Peguam Kanan Persekutuan bahawa notis
dan cadangan persempadanan itu tidak sepatutnya dikaji semula kerana ia
tidak termasuk dalam Peraturan 53 Kaedah 2 (4) Kaedah Mahkamah 2012.
“Kami bersetuju dengan hujahan responden bahawa forum yang sesuai untuk
membantah cadangan persempadanan adalah melalui sesi inkuiri tempatan,
berdasarkan Seksyen 5 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Vernon berkata, walaupun dakwaan berhubung salah pembahagian kawasan
dan manipulasi pilihan raya (gerrymander) tidak dipertikaikan, Daftar
Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar
di mahkamah mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.
“Kami bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berdasarkan
Seksyen 9A Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958 berkaitan ketepatan daftar
pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun daftar pemilih itu
tidak merekodkan alamat lengkap semua dalam cadangan persempadanan
semula,” katanya.
Mereka juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa
maklumat disediakan oleh SPR melalui cadangan persempadanan di bawah
notis Seksyen 4 tidak memerlukan campur tangan mahkamah lebih tinggi.
Korum itu bagaimanapun tidak menyentuh hujahan dikemukakan responden,
sama ada kes itu kini telah bersifat akademik susulan cadangan
persempadanan semula Dun dan Parlimen di negeri itu telah diluluskan,
semalam.
Pada 7 Disember 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan menolak
permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor, bagi mencabar proses
cadangan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan Dun negeri
terbabit.
Dalam semakan kehakiman itu, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri
Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memohon perisytiharan bahawa
cadangan persempadanan oleh SPR pada 2016, tidak mematuhi Fasal 2(c) dan
2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,
sehubungan itu ia tidak sah dan terbatal. Sinar Harian
No comments:
Post a Comment