
CF Fong berkata badan kawal selia harus menjalankan inisiaitf untuk menyediakan penjelasan tentang berita dan maklumat palsu.
PETALING JAYA: Seorang pakar keselamatan siber memberi amaran
walaupun undang-undang anti berita palsu yang dicadangkan bertujuan
untuk memastikan pemberitaan dan penyebaran maklumat yang benar, ia
boleh memakan tuan jika tidak dilaksanakan dengan betul.
CF Fong berkata walaupun kawalan undang-undang bagi menghalang
maklumat palsu mungkin sesuatu yang bagus, tetapi ada sisi lain yang
perlu diperhatikan.
“Undang-undang boleh ditafsirkan secara subjektif dan boleh disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata media sosial tempatan dan laman berita dalam talian
dihujani dengan campuran pelbagai unsur, termasuk yang benar dan tidak
benar.
Oleh itu sukar untuk mengenalpasti sama ada satu-satu artikel itu benar atau tidak, katanya.
“Satu berita ‘palsu’ mungkin mengandungi unsur-unsur fakta dan ini mungkin menyebabkan berita itu nampak berasas,” katanya.
“Jadi bagaimana agensi penguatkuasaan akan menangani berita campuran
pelbagai unsur ini? Ini sesuatu yang penggubal undang-undang perlu
fikirkan,” katanya.
Rang undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Dewan
Rakyat minggu lepas, dan menyatakan mana-mana orang yang didapati
bersalah mencipta, menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan
berita palsu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, pemenjaraan
tidak melebihi 6 tahun, atau kedua-duanya.
RUU itu menggambarkan berita palsu sebagai sebarang berita, maklumat,
data atau laporan, yang palsu sepenuhnya atau sebahagiannya, sama ada
dalam rencana, visual, rakaman audio atau sebarang bentuk yang boleh
mencadangkan kata-kata atau idea.
Fong berkata oleh kerana undang-undang itu memerlukan penyedia
maklumat lebih bertanggungjawab, ia akan mengubah cara maklumat
disebarkan di ruang siber.
“Cabaran utama ialah penggubal undang-undang perlulah boleh menilai dan menapis maklumat ‘benar’ dan ‘palsu’.”
Beliau berkata badan kawal selia harus menjalankan inisiaitf untuk
menyediakan penjelasan tentang berita dan maklumat palsu, seperti yang
dilakukan oleh kerajaan persekutuan melalui portal sebenarnya.my.
No comments:
Post a Comment