KEPALA BATAS: Hukum solat di masjid yang dibina daripada sumber haram
adalah sah, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada
18 dan 19 Disember lalu membincangkan hukum membina masjid daripada
sumber haram seperti dana loteri kebajikan masyarakat dan hukum solat di
dalamnya dan memutuskan solat itu sah.
“Individu yang membina masjid menggunakan wang daripada sumber haram
adalah berdosa manakala orang yang bersembahyang di dalam masjid itu
tidak berdosa dan solatnya dikira sah dan memperoleh pahala berdasarkan
fatwa-fatwa dan ulama-ulama terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan
penerangan berhubung perkara itu kepada kariah Masjid Rantau Panjang,
hari ini selepas menerima aduan daripada kariah masjid itu yang
ragu-ragu untuk mendirikan solat di masjid itu yang dikatakan dibina
daripada sumber haram.
Wan Salim berkata pihaknya akan mewartakan keputusan Jawatankuasa
Fatwa Negeri Pulau Pinang itu bagi memastikan fatwa itu diterima tanpa
sebarang keraguan.
“Sesiapa yang ingin bertaubat daripada perbuatan itu (menggunakan
wang daripada sumber haram untuk membina masjid), boleh beri sumbangan
untuk kemaslahatan umat Islam seperti membina pondok-pondok agama,
jambatan, bilik air dan bersedekah kepada fakir miskin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kariah masjid itu R osli Hamid,65, berkata
beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan mufti dan berharap
semua ahli kariah masjid menerima fatwa itu. FMT
No comments:
Post a Comment