Monday, March 19, 2018

'Sebagai penasihat, takkan saya diam saja'

 
   
WAWANCARA | Tiada apa yang pelik dengan tindakannya membangkitkan isu 1MDB dan rampasan kapal layar mewah Equanimity baru-baru ini, kata Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau menjelaskan tindakannya itu - yang mendapat kecaman daripada sejumlah pemimpin Umno - tidak lebih sekadar menjalankan tugasnya sebagai penasihat.

"Saya dilantik (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak sebagai penasihat. Sebagai penasihat saya buat apa, nak diam saja?

"Jadi saya beri (nasihat) kepadanya, dan sudah berhubung dengan pihak-pihak tertentu (mengenai hal yang dibangkitkan).
"Tetapi orang kata Rais Yatim sudah meroyan. Belum tahu lagi siapa yang meroyan dalam hal ini," katanya lagi.

Rais yang sebelum ini banyak mengutarakan soal budaya dan bahasa - dua bidang yang amat dekat dengan dirinya - mengundang perhatian selepas menegur Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menurutnya terlalu cepat menafikan kaitan Equanimity dengan individu utama dalam skandal 1MDB, Jho Low.
Susulan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang menyifatkannya sebagai berdendam dengan kerajaan manakala Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz menggesanya meletakkan jawatan.

Menganggap skandal 1MDB sebagai "polemik nasional" yang telah memalukan negara, Rais berkata beliau sedia mempertahankan kritikannya.
"Maka pihak lain pun haruslah juga (berhujah secara rasional). Jangan prejudis dan kata saya kini sudah terasing," katanya yang juga presiden Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Undang-undang tak dilaksana
Beliau mengingatkan pihak yang tidak berpuas hati dengan kritikannya bahawa beliau memiliki ijazah doktor kehormat dalam Undang-undang dan justeru mempunyai kebimbangan yang sah terhadap pengabaian prinsip undang-undang dalam isu berkaitan 1MDB dan Jho Low.

"Kajian saya dalam undang-undang, dan saya tidak lihat perlaksanaan undang-undang...Sudah Kenapa tiada siasatan terhadap beliau? Kita ada rangkaian antarabangsa.

"Sejumlah negara mencari Jho Low tentang 1MDB...(Di Malaysia) tiada siasatan terhadap beliau. Kenapa tidak? Kita ada rangkaian antarabangsa.
"Ini menimbulkan persoalan pada diri saya yang agak biasa tentang soal pentadbiran undang-undang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIA di Gombak.

Beliau membangkitkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.
"Tetapi ia tidak berlaku (dalam kes ini). Itu sahaja persoalan saya."

No comments:

Post a Comment