Zhenzhen mahu melihat bapanya sembuh seperti sediakala.
CHENGDU - CHINA. Seorang gadis kecil berusaha keras selama
berminggu-minggu menambah berat badan, untuk membolehkannya menderma
sumsum tulang kepada bapanya yang menghidap leukimia.
Nyawa Luo Changming, bergantung kepada anak gadisnya Zhenzhen, 11, yang
merupakan waris tunggal mempunyai padanan sesuai untuk pemindahan
terbabit.
Namun anak kecil itu terlebih dahulu harus menambah berat badan kerana
penderma perlu mempunyai sekurang-kurangnya separuh berat badan penerima
bagi memastikan mereka cukup kuat untuk menahan prosedur pemindahan.
Demi melihat ayahnya sembuh, Zhenzhen berusaha makan sebanyak yang
boleh walaupun dia seorang yang cerewet memilih makanan sebelum ini.
Hasil sokongan keluarga, gadis itu berjaya menaikkan berat badan dari
29 kilogram kepada 33.5 kilogram dalam tempoh lebih sebulan.
Pengorbanan Zhenzhen ternyata berbaloi apabila doktor mengesahkan
pemindahan sumsum tulang itu boleh dilakukan dalam masa terdekat.
Bagi gadis kecil itu, harapannya hanya satu, untuk melihat bapanya sembuh seperti sediakala. - SCMP
No comments:
Post a Comment