PETALING
JAYA: Sumpah taklik (cerai) yang menyebabkan Adun dan Ahli Parlimen PAS
bercerai dengan pasangan jika meninggalkan parti itu mungkin tidak akan
dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-14.
Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata amalan itu
tidak akan dilaksanakan jika PAS merasakan tiada keperluan untuk
melindungi kerusi mereka secara paksa selepas PRU 2004.
“Kali ini sumpah taklik kemungkinan tidak ada. Dulu pun tidak ada
kecuali di Kelantan. Dulu masa tok guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
melihat ada keperluan pada masa itu. Secara umumnya tidak ada,” katanya
pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
Sumpah baiah (taat setia) mula diperkenalkan PAS di Kelantan pada
1995 dan dimasukkan sumpah taklik selepas PRU 2004 apabila kerajaan
negeri berdepan risiko apabila beberapa wakil rakyat mereka melompat
parti dan menyebabkan perbezaan 1 kerusi sahaja.
Sumpah taklik itu menghendaki calon PAS yang memenangi kerusi DUN
atau Parlimen di Kelantan kekal bersama parti itu atau bercerai dengan
pasangan mereka.
Tuan Ibrahim berkata setakat ini tiada permohonan daripada PAS Kelantan untuk mengekalkan sumpah taklik.
Beliau juga menyeru orang ramai supaya memahami sejarah sumpah taklik
dan menerima keberkesanannya mempertahankan kerajaan yang dipilih
rakyat Kelantan.
“Apa tujuan baiah? Tujuan supaya tidak khianat rakyat. Rakyat yang
pilih kita tiba-tiba wakil rakyat yang menang khianat. Macam mana nak
halang kerusi tidak dijual?” kata Tuan Ibrahim.
“Jangan tengok pada baiah tapi tengok pada kesan baiah. Kesannya
calon PAS tidak mengkhianati rakyat. Pakatan Rakyat tumbang di Perak
bukan kerana PAS.”
Beliau merujuk peristiwa pada 3 Februari 2009 apabila Barisan
Nasional menawan kembali kerajaan Perak selepas 2 Adun PKR dan seorang
Adun DAP mengisytiharkan diri mereka calon bebas tetapi mesra BN.
Menjawab kritikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
yang membidas sumpah taklik itu sebagai “mencagarkan isteri”, Tuan
Ibrahim berkata pemimpin Pakatan Harapan itu tidak perlu mencampuri
urusan PAS.
“Dia bukan calon PAS,” katanya.
Di sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin
Hassan mengumumkan Gabungan Sejahtera sudah memuktamadkan 70% agihan
kerusi DUN dan Parlimen di seluruh Malaysia.
“Baki 30% lagi dalam proses kerana isu persempadanan semula yang dilakukan SPR.”
No comments:
Post a Comment