Monday, April 30, 2018

Pengundi bosan dengan 'muka sama'



Pengundi Iraq bosan dengan 'muka sama'
Perang poster kempen kini sedang berlangsung di seluruh negara menjelang pemilihan 12 Mei depan.

BAGHDAD - IRAQ. Hanya selepas sedekad pilihan raya multi parti pertama di Iraq, rakyat Iraq mula kecewa melihat 'muka lama yang sama' dengan kepentingan masing-masing bertanding dalam pilihan raya pada kali ini sejak kejatuhan pemimpin diktator, Saddam Hussein.

"Sudah berapa lama Ibrahim al-Jaafari, Ayad Allawi, Nuri al-Maliki atau Haider al-Abadi memegang kuasa? Seminit mereka jadi ahli parlimen kemudian dilantik sebagai menteri," kata penduduk Baghdad, Midan al-Hamadani, 40, merujuk kepada menteri luar, timbalan presiden, bekas perdana menteri dan perdana menteri terkini negara itu.  Jelasnya, parti politik sentiasa sama dan muka serupa kembali memegang kuasa.

"Sama ada kami suka atau tidak," katanya secara sinis.
Skandal rasuah yang berleluasa dan kegagalan menyediakan perkhidmatan asas seperti bekalan air, elektrik dan pengangkutan telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin politik di negara itu.

Di negara yang mempunyai sejarah konflik dan keganasan antara puak terpanjang itu bakal menyaksikan lebih 24 juta rakyat layak mengundi bakal memilih 329 anggota Majlis Perwakilan pada 12 Mei depan.
Baghdad kini meriah dengan dengan poster pilihan raya.

Di sesetengah tempat, wajah calon telah 'menenggelamkan' poster yang memaparkan mereka yang terkorban dalam perjuangan menentang Daesh di utara dan barat Iraq pada 2014 hingga 2017.
"Ia adalah muka yang sama! Apa yang mereka pentingkan adalah menjadi kaya dan bukan berkhidmat untuk rakyat!' kata Haidar al-Shamri, 35 di tengah Baghdad.

Tokoh dan parti politik sama telah memegang kuasa di Iraq sejak pencerobohan diketuai Amerika Syarikat yang menggulingkan Saddam pada 2003.
"Jadi, apa perubahan yang berlaku? Sekurang-kurangnya ada 'muka baharu'. Kami sudah bosan dengan pembohongan," kata Umm Yussef, 54, dari bandar Mosul secara lantang.  Bandar utara kedua terbesar di Iraq itu musnah dalam operasi dilancarkan tentera kerajaan untuk menyingkirkan Daesh malah pembinaan semula juga terhenti kerana kekurangan dana negara.

20 peratus calon pendatang baharu

Terdapat khabar angin yang menyatakan marjaiya yang merupakan pihak berkuasa agama tertinggi puak syiah telah meminta agar penjawat kini tidak dipilih semula.

Menurut suruhanjaya pilihan raya, 20 peratus calon adalah pendatang baharu.
Salah seorang wajah baharu adalah Hala Karim, pegawai Kementerian Kesihatan yang melihat tiada perubahan dalam tempoh 15 tahun (sejak kejatuhan Saddam) malah keadaan didakwa menjadi semakin buruk.

"Dalam era ini, sistem 'confessional' iaitu pemerintahan yang menggabungkan agama dan politik semakin meningkat dan situasi semakin merosot. Kita perlu ubah perkara itu.

"Orang lama telah menggunakan video secara atas talian memfitnah muka baharu untuk mencetuskan pertelingkahan bagi memastikan mereka kekal memegang kuasa," kata wanita berusia lingkungan 30-an itu yang bertanding dalam senarai bebas, Tahalouf Baghdad (Gabungan Baghdad).

Haidar al-Bizani yang turut bertanding dalam pilihan raya kali ini walaupun pernah gagal untuk memenangi kerusi sebagai calon bebas dalam pemilihan sebelum ini.

"Tidak mungkin calon bebas boleh menang. Undang-undang 'menghalang' senarai kecil. Oleh sebab itu, saya bertanding dalam senarai Hikma yang dipimpin ahli politik syiah, Ammar al- Hakim," katanya yang sanggup menjual tanah dan berhenti kerja kerana mahu terlibat dalam dunia politik.
Di wilayah Anbar, penduduk juga tidak sabar menanti perubahan kerana kebanyakan mereka kecewa dengan kelas politik.

"Secara umum, rakyat mahu melihat transformasi radikal dan lengkap. Kami tidak akan menerima muka sama di bawah nama parti dan slogan berbeza," kata pemimpin puak Khalidiya di Ramadi, Sheikh Mohammed al-Nimrawi.
Walaupun berdepan ancaman Daesh yang mahu menyerang pusat pengundian, kempen masih berlangsung dan poster terus dipamerkan di seluruh negara tanpa menghiraukan amaran tersebut. - Agensi
Info
  • Sistem pengundian elektronik akan digunakan buat pertama kali. Keputusan akan diumumkan dalam tempoh beberapa jam. Sistem baharu itu dapat mengehadkan penipuan undi.
  • Pilihan Raya Parlimen pada 12 Mei depan itu adalah yang keempat pernah diadakan sejak kejatuhan Saddam Hussein.
  • Lebih 24 juta pengundi layak mengundi.
  • Rakyat akan memilih 329 anggota Majlis Perwakilan yang kemudiannya akan melantik perdana menteri dan presiden.
  • Kali terakhir Pilihan Raya Parlimen diadakan pada 30 April 2014.
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment