Friday, May 4, 2018

HARAPAN tumpu masuk pedalaman, kampung Melayu

3/5/18 Wartawan Malaysiakini

   
PRU14 | Bagi kebanyakan penduduk bandar, musim pilihan raya bermakna ceramah besar saban malam. Acara itu nampaknya tidak banyak pada kempen pilihan raya kali ini, menyebabkan ramai yang tertanya-tanya perihal kempen yang kurang rancak.

Namun jauh daripada kamera wartawan, di jalan tidak berturap dan tidak berlampu, pertembungan sengit sedang berlaku di kawasan luar bandar dan perkampungan Melayu di pantai barat semenanjung.
Di kawasan ini, kempen bermakna ceramah kelompok gaya lama. Ia bukanlah cara yang mudah bagi calon yang tidak memiliki sumber yang banyak.

Berdekad lamanya BN menjadi kuasa dominan di sini. Hari ini Pakatan Harapan (HARAPAN) mencabar mereka di gelanggang mereka sendiri.
BERSATU, AMANAH dan PKR telah membawa pertarungan di kawasan ini, yang merupakan faktor penentu sama ada badai 'tsunami Melayu' akan benar-benar melanda BN.

Di kasawan ini, tidak banyak yang mampu dilakukan DAP. Justeru parti itu kekal menjaga kubu di kawasan bandar dengan mengadakan ceramah besar.
Pada hari kedua kempen di Johor Bahru raya, calon DAP Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menarik sejumlah 4,000 hadirin ke ceramahnya di Taman Ungku Tun Aminah. Pada PRU lalu, DAP menang selesa di sana.

Pada masa asma, calon PKR Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir mengadakan ceramah secara sederhana - dengan 400 hadirin - di kubu kuat BN iaitu Bandar Baru Uda (gambar).
Pada PRU lalu, BN menang 1,696 undi parlimen di pusat mengundi di sana berbanding PKR yang hanya mendapat 701 undi.
Sementara itu BN memanfaatkan jaringannya di masjid yang mempunyai pertalian erat dengan masyarakat setempat.

Misalny, penyadang Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menghadiri tiga majlis doa tahlil dalam masa tiga jam, selain mengadakan walkabout.

Di utara Johor, Calon BERSATU Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman juga mengambil pendekatan sama.
"Saya cuba melawat lima masjid sehari untuk lima waktu sembahyang," katanya kepada Malaysiakini.

Jika berpeluang, Syed saddiq (gambar) akan duduk makan bersama-sama jemaah yang menurutnya waktu terbaik untuk bercakap secara berterus-terang tentang politik.
Pada sebelah malam pula, beliau akan mengadakan ceramah kelompok, adakala sehingga tiga ceramah untuk satu malam. Ia pula biasanya dilakukan berdekatan parit yang semamangnya banyak di kawasan itu.

Sasaran: kawasan kelabu
Di Melaka, di mana pembangkang boleh dikatakan tidak wujud kecuali di bandar-bandar, HARAPAN membawa Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan pedalaman di daerah mengundi Kampung Pulau Ayer Limau dan Pekan Nyalas. Ceramah di kedua-dua tempat itu menarik 200 hadirin.

Pada PRU lalu, BN mendapat 1,042 daripada 1,614 undi peringkat parlimen di Pekan Nyalas, dan 618 daripada 843 undi di Kampung Pulau Ayer Limau.
Calon PKR Parlimen Hang Tuah Jaya dan DUN Rim Shamsul Iskandar Md Akin turut menghadiri sehingga empat ceramah kelompok semalam, kebanyakannya di 'kawasan kelabu' - adakala dengan hanya 30 hadirin.

Mereka berdepan jentera BN yang kuat dan teratur - yang sekian lama mengadakan kempen peringkat akar umbi berbanding ceramah besar.
Misalnya calon BN Parlimen Alor Gajah Wong Nai Chee mempunyai jadual ketat untuk bertemu semua jentera tempatan di 41 daerah mengundi hanya dalam masa beberapa hari kempen.

Di Negeri Sembilan, calon PKR Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah berkata partinya mengurangkan ceramah besar dan menggantikannya dengan kempen bertumpu seperti walkabout.
"Kami bertumpu kepada politik yang lebih peribadi selain publisiti internet," kata Danyal yang bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Menuju himpunan 'finale'
Di Perak, DAP mengadakan himpunan di Teluk Intan dan Ipoh dalam separuh pertama tempoh kempen. Media sosial menunjukkan ribuan hadirin menghadirinya.

Namun di tempat seperti Parlimen Tanjong Malim - yang memiliki pengundi Felda teramai di negeri itu - ceramah kelompok yang menguasai suasana.
Pada hari kedua kempen, calon PKR Chang Lih Kang dan pasukannya masuk ke dalam perkampungan Melayu di Ulu Slim (gambar) untuk mengadakan ceramah seperti itu.
Pada PRU lalu, BN mendapat 463 undi parlimen di daerah mengundi Ulu Slim berbanding PKR dengan 144 undi.
Di Kedah juga menunjukkan keadaan serupa.

Calon BERSATU Parlimen Pendang Wan Saiful Wan Jan misalnya mempunyai 12 program hari ini, yang bermula seawal pukul sembilan pagi.
Ia termasuk kunjungan di beberapa tempat, sembahyang di masjid, ceramah kelompok. Jadualnya beberapa hari lepas juga tidak kurang sibuknya.
Jadual calon PKR Parlimen Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail juga begitu, dan kebanyakan program memberi tumpuan kepada pertemuan secara peribadi.
"Saya berjaya mengadakan enam hingga tujuh program sehari, dan saya memberitahu (jenteranya) untuk tambah sehingga sepuluh program," katanya.
Pada masa sama, kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur pula terus dipenuhi ceramah-ceramah besar.

Pada PRU lalu, walaupun pembangkang berjaya merampas 15 kawasan Parlimen bandar di semenanjung, mereka turut hilang 15 kerusi Parlimen luar bandar dan separa bandar.

Justeru separuh pertama kempen PRU kali ini menyaksikan PKR, BERSATU dan AMANAH giat masuk ke kawasan luar bandar dan perkampungan Melayu - jauh daripada perhatian - untuk berdepan BN dan juga PAS.

Masuk separuh masa kedua kempen, fokus mungkin akan kembali kepada ceramah besar memandangkan HARAPAN akan menutup kempen mereka dengan "himpunan finale" di setiap negeri. Ia biasanya akan dihadiri pimpinan tertinggi parti.

Di hari-hari terakhir kempen, HARAPAN perlu memastikan ia mampu mengekalkan sokongand i kawasan bandar selepas mengalihkan sumber dan perhatian ke kawasan luar bandar.

No comments:

Post a Comment