Sunday, May 6, 2018

Husam: Nik Omar bakal MB Kelantan jika Pakatan Harapan menang

Malaysiakini 6/5/18
   
PRU14 |  Datuk Husam Musa membayangkan anak lelaki pertama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar, sebagai calon menteri besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai dewan undangan negeri (DUN) Kelantan minggu depan.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, rakyat Kelantan adalah manusia paling bijak berpolitik dalam negara ini kerana mahir menukar kerajaan apabila dirasakan langkah itu perlu diambil.

Bekas exco kanan Kelantan itu kemudian bertanya kepada orang ramai yang menghadiri majlis ceramahnya di Cherang dekat Kota Bharu itu: "Kali ini tuan-tuan nak pilih siapa? Nik Omar atau Nik Amar?"

Pertanyaan itu disambut dengan jeritan "Nik Omar!" daripada orang ramai yang berada di program bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar berkenaan.
Kenyataan Husam itu merujuk kepada Nik Omar yang dipertaruhkan HARAPAN untuk merebut kerusi DUN Chempaka pada PRU ke-14 Rabu depan.

Nik Amar itu pula merujuk kepada timbalan menteri besar sementara Kelantan merangkap naib presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mendengar teriakan orang ramai yang mahukan Nik Omar, Husam kemudian bertanya: "Jadi saya nak duduk di mana?"
"Saya akan pegang Malaysia," tambahnya.

No comments:

Post a Comment