WAWANCARA | Semakin kecewa dengan
komunalisme di dalamnya, pengasas Umno Datuk Onn Jaafar meninggalkan
parti itu pada 1951 selepas seruannya agar ia dibuka kepada semua kaum
tidak dilayan.
Beliau kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang
bersifat pelbagai kaum. Namun ia tidak mampu bertahan lama - IMP
dibubarkan tidak lama selepas hanya menang satu kerusi dalam pilihan
raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952.
Tujuh dekad berlalu. Umno kekal sebagai parti Melayu, namun cadangan
untuk membuka keahlian kepada kaum lain muncul semula selepas kekalahan
pertamanya dalam sejarah pada 9 Mei lalu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkannya seminggu selepas
PRU ke-14, berkata parti itu perlu menilai semula tujuan kewujudannya.
Idea itu barangkali tidak dapat dibayangkan sebelum 9 Mei, namun
tidak selepas kekalahan bersejarah itu. Sokongan terhadap idea itu hadir
dari tempat lahir Umno sendiri, iaitu Johor.
Bakal ketua pembangkang DUN negeri itu Datuk Hasni Mohammad (gambar)
berkata, jika MIC dan MCA kekal dalam keadaan sekarang, Umno perlu
menimbang cadangan itu dan menjenamakan semula dirinya sebagai parti
pelbagai kaum.
"Saya fikir jika MCA dan MIC tidak dapat berfungsi, maka sebuah parti pelbagai kaum perlu mengambil tempat mereka.
"Jika MCA dan MIC terus berada dalam keadaan sekarang...Maka
(persoalan) sama ada Umno perlu dijenamakan semula tidak dapati
dielakkan. Kita perlu melakukannya.
"Kita tidak boleh hanya memimpin Melayu, tidak boleh jadi parti untuk
Melayu saja," kata ADUN Benut itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Referendum dalam Umno
Hasni bagaimanapun mengingatkan keputusan seumpama itu perlu dibuat melalui perbincangan menyeluruh dalam parti.
"Saya rasa ia dasar yang perlu melalui proses referendum di kalangan
anggota Umno. Ia bukan hal yang boleh dibincang dalam bilik mesyuarat
sahaja.
"Cawangan Umno berada dalam setiap kampung."
Umno menang 54 kerusi Parlimen pada PRU lalu, namun parti komponen
utama BN mengalami kekalahan teruk - MIC hanya menang dua kerusi
manakala MCA satu kerusi.
Walaupun di kubu kuatnya iaitu Johor, Umno hanya mampu mengekalkan 17
daripada 32 kerusi DUN yang dipegang. MIC mendapat dua kerusi manakala
MCA kalah semua kerusi.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment