"Kos RM5.9 bilion untuk fasa kedua program pemulihan (landasan) itu terlalu besar dan dikatakan akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.
"Kita tak mampu tanggung (kos) itu," kata Loke dipetik Malay Mail.
Fasa 2 projek itu telah diberi secara langsung tanpa tender terbuka. Ia antara beberapa projek Kementerian Kewangan yang sedang disemak semula.
Fasa kedua ini bertujuan menaik taraf landasan keretapi sejauh 62km antara Salak Selatan dengan Seremban.
Tak tutup fakta
Fasa pertama, yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf landasan sepanjang 42km di antara Rawang dan Salak Selatan, sedang dijalankan dengan anggaran kos RM1.41 bilion.
Loke berkata fasa pertama sepatutnya siap pada Ogos 2019, tetapi akan ditangguhkan hingga November 2019.
"Kami mengamalkan pendekatan jujur ini untuk mengakui bahawa akan ada kelewatan dan bukannya menutup fakta itu.
"Oleh itu, saya menyeru para penumpang untuk merancang dan menggunakan bentuk pengangkutan alternatif untuk sampai ke destinasi mereka," katanya.
Beliau berkata penundaan penyiapan projek itu akan mengakibatkan penumpang KTM tertangguh perjalanannya antara 15 hingga 30 minit atau lebih lama semasa waktu sibuk dan 30 minit hingga satu jam atau lebih lama semasa waktu tidak sibuk.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment