Tuesday, June 5, 2018

Petronas pohon deklarasi mengenai hak milik sumber petroleum

 | June 4, 2018
Petronas berkata perisytiharan mahkamah akan membantu 'menjelaskan hak dan kedudukan' di sisi undang-undang.
Permohonan itu bertujuan mengisytiharkan Petronas pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengawal industri huluan di Sarawak. (Gambar bernama)
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad, atau Petronas, memfailkan permohonan mahkamah untuk mengisytiharkan hak milik eksklusif ke atas sumber petroleum negara, berikutan langkah Sarawak menunjukkan perhatian lebih aktif terhadap sumber tempatan.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata, ia memohon deklarasi mahkamah ke atas Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang merupakan undang-undang yang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Permohonan itu juga bertujuan, selari dengan PDA, mengisytiharkan Petronas sebagai pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengawal industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Syarikat itu berkata, ia percaya ketetapan mahkamah akan “memberi kejelasan tentang hak dan kedudukan kita di sisi undang-undang.”
“Petronas terus komited membantu usaha Sarawak terlibat sama dalam industri minyak dan gas di negeri itu selagi ia berjalan dalam kerangka PDA,” katanya.

Pada Mac lepas, kerajaan Sarawak menekankan hak ke atas sumber minyak dan bersedia mengambil alih kuasa kawalan penuh ke atas industri huluan dan hiliran gas dan minyak negeri itu bermula Julai depan, lapor akhbar tempatan.

Tahun lepas, kerajaan negeri menubuhkan syarikat minyak dan gas, iaitu Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan tujuan mengambil alih kuasa kawalan ke atas sumber petroleum di Sarawak.

Sebagai penyumbang penting kepada hasil negara dan majikan paling besar di Malaysia, Petronas mungkin membayar sehingga AS$2.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen tahun ini, kata seorang pegawai kementerian kewangan minggu lepas, sewaktu harga pasaran minyak dunia lebih tinggi menambah keuntungan kepada syarikat tenaga tersebut.
FMT

No comments:

Post a Comment