Monday, June 4, 2018

Tajuddin: MCA yang tak buat kerja

 
   
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membidas Datuk Seri Wee Ka Siong yang dikatakan menyalahkan Umno susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

Tajuddin berkata, timbalan presiden MCA itu sepatutnya menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Umno sebelum pilihan raya bukannya dan bukannya selepas BN mengalami kekalahan.

“Dah kalah baru berani cakap, dulu tak berani cakap MCA tak mahu pikul beban kesalahan Umno,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wee bahawa MCA tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan Umno.
Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily semalam, Wee membayangkan BN akan tidak lagi seperti dulu dan berkata MCA selepas ini akan membuat keputusan sendiri.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, Umno khususnya bekas pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tidak pernah meminggirkan MCA dan memberi layanan sama rata.

“Macam-macam kita bagi (pada MCA), lepas tu kalah PRU ke-13, lantik lagi jadi menteri dan timbalan perdana menteri.
“Apa lagi yang MCA nak? Mereka ini tidak buat kerja tahu tak? Yang buat kerja Wanita Umno siang malam,” katanya.

Tajuddin menambah, tidak adil Wee mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Umno yang banyak buat kerja.
“Bagitahu Wee Ka Siong saya rasa tidak adil dia keluarkan kenyataan seperti itu sebab apa yang berlaku bukan sebab Umno.

"Kami buat kerja bersungguh-sungguh kami bekerja untuk MCA dan kaum Cina. Masalahnya MCA tidak dapatkan yakinkan kaum Cina pengundi itu,” katanya.

Pelawaan PAS ganjil
Berhubung pelawaan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengajak anggota Umno menyertai parti itu, Tajuddin berkata perkara itu kedengaran agak ganjil.
Menurut Tajuddin, kedua-dua parti itu perlu mencari titik persamaan terlebih dahulu jika ingin bergabung.

Tajuddin memberi contoh kesepakatan antara PAS dan Umno ketika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 (RUU355) di parlimen sebelum ini.
“Saya syor PAS dan Umno kerjasama tak perlu salah satu parti nak kena bubar. Parti kekal masing-masing, tapi kita cari titik pertemuan kerana PAS dan Umno sama-sama berjuang untuk orang Islam.

“Kita boleh mula kerjasama menghadapi kerajaan di atas keputusan yang dibuat yang tidak adil khususnya kepada orang Islam,” katanya.
Tajuddin mengakui, meskipun perjuangan Umno dan PAS hampir sama, tidak semua pendekatan yang digunakan PAS boleh diterima ahli Umno.

“Ahli PAS ramai juga, mereka kalau adakan program berkhemah ramai-ramai orang Umno buat dalam dewan, mungkin Umno kena tiru cara PAS, berkhemah,” katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment