Thursday, June 7, 2018

Terengganu dapat royalti minyak: MB Terengganu

Sinar Harian
Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan negeri-negeri berkaitan termasuk Terengganu akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.
“Ia dipersetujui secara prinsip. Quantum akan dibincangkan selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

“Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Terengganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara terus,” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri. - Bernama

No comments:

Post a Comment