Malaysiakini 13 Jul 2018
Suar, botol, dan batu melayang di Stadium Stadium Gelora Delta
Sidoarjo di Indonesia selepas pasukan Malaysia bawah 19 (B-19) melangkah
ke peringkat akhir Kejohanan Remaja B-19 AFF.
Tindakan itu didakwa dilakukan oleh penyokong Indonesia yang
menyasarkan pemain Malaysia akibat berang dengan keputusan perlawanan.
Lebih 26,000 penyokong Indonesia yang menyaksikan perlawanan separuh
akhir itu kecewa apabila kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan
berakhir.
Sepakan penalti akhirnya berpihak kepada Malaysia 3-2.
Menceritakan situasi tegang itu, jurulatih skuad Malaysia Bojan Hodak
berkata dia dan anak buahnya terpaksa bergegas meninggalkan padang
dengan bantuan pasukan keselamatan.
"Mereka baling botol dan batu ke arah kami. Mujur kami sempat meninggalkan padang tanpa kecederaan," katanya seperti dilapor NST.
Dalam sebuah klip video amatur yang memaparkan insiden itu, pemain
Malaysia dilihat berlari dari tengah padang meluru ke bilik persalinan.
Pasukan keselamatan dilihat membuat bumbung perisai bagi menepis
objek yang dibaling ke arah pintu masuk menuju ke bilik persalinan.
Penyokong bola sepak tempatan yang berang dengan insiden itu turut
mendakwa penyokong Indonesia membuat provokasi sejak awal permainan
dengan menaikkan sepanduk yang mengandungi kata kesat menghina Malaysia.
Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya sudah menghubungi
persatuan bola sepak Indonesia dan kini sedang menunggu laporan sebelum
mengambil tindakan selanjutnya.
"Saya telah menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh
Indonesia (PSSI), Joko Driyono dan beliau telah berjanji akan
meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika
menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan.
"Joko Driyono sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu.
"Bagi pihak saya dan FAM, kami akan menunggu laporan daripada Match
Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan
selanjutnya berhubung insiden ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan rasa kecewa dengan insiden itu.
Melalui kenyataan di Twitter, Syed Saddiq berkata dia akan ke Indonesia malam ini bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
"Amat menyedihkan. Pihak mereka dah berjanji akan perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan sabtu ini.
"Saya akan ke Indonesia malam ni
dan akan pastikan sebaik mungkin bahawa perkara ini tidak akan berulang,
khususnya bagi Sukan Asia nanti," katanya.
Anak buah Hodak akan bertemu
dengan pasukan Myanmar Sabtu ini di peringkat akhir sekali gus merupakan
percubaan keenam skuad muda negara untuk merangkul juara.
No comments:
Post a Comment