Cadangan untuk menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan
dalam masa 100 hari seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan
Harapan (PH), demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Beliau berkata kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini.
Lagipun, katanya, penghapusan tol melibatkan proses yang rumit dan pelbagai pihak.
"Kami telah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan)
tetapi, sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak
di mana seseorang perlu membuat pembayaran tidak kira sama ada ia
menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna dan pemegang
konsesi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di
Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.
Shahril (gambar) berkata penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.
"Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol
dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada
pembayar cukai, dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,”
jelasnya.
KWSP memilliki 49 peratus pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol
PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd
memiliki ekuiti selebihnya.
Beliau juga berkata pelabur Malaysia perlu mempunyai keyakinan
terhadap pasaran dan kerajaan, menyedari hal ini, tidak mahu melakukan
apa-apa yang boleh menjejaskannya.
Sementara itu, semasa sesi soal jawab, Shahril berkata ekonomi
Malaysia dijangka tidak menentu tahun ini sekurang-kurangnya sehingga
Oktober.
Sentimen pelabur asing kekal tidak memasuki pasaran kerana mereka
masih berhati-hati dengan keadaan semasa negara dari segi dasar ekonomi,
katanya.
“Bagi jangka masa pendek, akan ada banyak ketidaktentuan kerana
kerajaan masih belum menetapkan dasar pelaburan atau pemacu pasaran yang
mereka mahu laksanakan.
"Saya jangka keadaan ekonomi tidak menentu itu akan kekal sehingga pembentangan belanjawan akan datang,” katanya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment