Wednesday, July 18, 2018

Guan Eng perjelas SST tidak bebankan rakyat

Sinar Harian
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng - Foto Bernama
(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan 1 September nanti tidak membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Guan Eng berkata, jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

Jadi katanya, tidak mungkin SST lebih membebankan rakyat berbanding GST seperti yang didakwa oleh Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, Kerajaan Pakatan Harapan akan dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat.

“Umno tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan kenyataan bahawa kos sara hidup akan lebih membebankan sekiranya SST dikekalkan, khususnya apabila sistem percukaian ini telah digunapakai oleh tampuk pemerintahan Umno sebelum 1 April 2015,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kenyataan palsu yang disebarkan oleh Umno bahawa sistem cukai SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem cukai GST adalah tidak masuk akal sama sekali.

[ARTIKEL BERKAITAN: SST resahkan rakyat: Najib]
Katanya, Najib perlu menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding GST apabila SST hanya menjana RM21 bilion berbanding RM44 bilion yang dikutip daripada GST.

“Menurut kenyataan mereka, kenyataan saya bahawa kadar cukai jualan di bawah sistem cukai SST sejumlah 10 peratu dan kadar cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus bermakna jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah 16 peratus; lebih tinggi berbanding kadar cukai GST 6 peratus.
“Ini adalah tidak benar dan amat mengelirukan, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan (sales tax) dan cukai perkhidmatan (services tax),” katanya.

Menjelaskan berkaitan cukai jualan SST itu, Guan Eng berkata, cukai jualan pada kadar 5 peratus dan 10 peratus dikenakan ke atas produk dikilangkan dan produk yang diimport yang tertentu; bukan ke atas semua produk yang diproses, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.

Katanya, cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus dikenakan ke atas perkhidmatan yang tertentu sahaja, dan bukan semua jenis perkhidmatan, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.
Beliau berkata, cukai jualan dikenakan ke atas harga kilang dan harga import, manakala GST dikenakan ke atas harga peringkat akhir yang dibayar oleh pengguna.

Oleh itu katanya, adalah salah untuk mendakwa cukai jualan 10 peratus adalah lebih tinggi daripada cukai GST enam peratus.
“Sebagai contoh, pihak pembekal mengenakan kadar 10 peratus cukai jualan (RM0.10) ke atas air tin yang dikilangkan dengan kos RM1.00.

“Sebaliknya, di bawah sistem cukai GST, apabila air tin yang sama dijual kepada pengguna di 7-Eleven pada harga RM2.00, kadar enam peratus cukai GST (RM0.12) akan dikenakan ke atas harga tersebut. Dalam keadaan ini, amat jelas bahawa kadar GST enam peratus (RM0.12) adalah lebih tinggi berbanding kadar SST 10 peratus (RM0.10),” katanya.

Tambahannya, Kementerian Kewangan telah mengambil langkah yang komprehensif untuk mengkaji semula sistem cukai SST dengan bantuan perunding cukai dari firma perakauanan Pricewaterhouse Coopers (PwC).

Katanya, PwC akan membantu kerajaan merasionalisasikan kutipan cukai dan piawaian pelaporan untuk memastikan SST menjadi lebih efisyen daripada GST dan juga SST yang terdahulu.

“PwC juga akan memastikan SST yang akan dilaksanakan pada 1 September 2018 adalah lebih mudah, ringkas dan mampu mengelakkan kebocoran cukai.
“SST juga akan diubahsuai untuk memastikan impak terhadap golongan berpendapatan rendah adalah pada kadar minima. Matlumat terperinci mengenai penambahbaikan SST akan diumumkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung,” katanya.

No comments:

Post a Comment