Ahli Parlimen Sungai Petani berkata ini bagi mengelakkan pilihan raya kecil di DUN Gurun yang juga disandangnya.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Seri Johari Abdul
hari ini mengesahkan dia menolak jawatan speaker Dewan Rakyat.
Beliau berkata ini bagi mengelakkan pilihan raya kecil diadakan di DUN Gurun, Kedah yang juga disandangnya.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 57(4) jelas menyatakan
sekiranya speaker dilantik dalam kalangan seorang Adun, maka Adun itu
mesti melepaskan jawatannya di peringkat DUN.
“Saya tidak bersedia untuk melepaskan. Jadi, jawatan ini akan pergi ke orang lain, nama saya sudah tersingkir,” katanya.
Johari bagaimanapun enggan mendedahkan calon lain yang disenaraikan
untuk jawatan speaker Dewan Rakyat, dan meminta pemberita menunggu
pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu, kumpulan bekas pegawai tinggi kerajaan, G25, membantah
pencalonan Johari kerana latar belakangnya sebagai bekas ketua Ahli
Parlimen PKR dan pernah terbabit dengan Biro Tatanegara (BTN), agensi
yang dikritik selepas didakwa digunakan untuk indoktrinasi perkauman.
G25 menggesa Pakatan Harapan mengangkat calon yang neutral dan lebih layak untuk melaksanakan reformasi Parlimen.
Terdahulu, sumber memberitahu FMT, hakim Mahkamah Rayuan yang
bersara, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Seri Mohd Hishamudin
Yunos menjadi pilihan untuk jawatan speaker Dewan Rakyat.
Rancangan melantik seorang Ahli Parlimen mungkin diabaikan kerana
terdapat kebimbangan ia tidak sesuai dengan janji memastikan perbahasan
yang adil.
Sumber berkata 2 bekas hakim itu disukai bukan sahaja kerana
pengetahuan undang-undang, tetapi juga kerana tiada kesetiaan politik
yang ditunjukkan ketika bertugas dulu.
Sumber juga memberitahu mereka menjadi pilihan walaupun mendapat tekanan daripada PKR supaya melantik orangnya. FMT
No comments:
Post a Comment