S Ravi Chandaran, saksi pembelaan ke-6 yang juga
saksi pembelaan terakhir sepatutnya menyambung keterangannya tetapi
enggan berbuat demikian selepas mengangkat sumpah.
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk
Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan
kerana tertuduh ke-7 enggan memberi keterangan disebabkan pemikirannya
tidak stabil.
S Ravi Chandaran, 47, saksi pembelaan ke-6 yang juga saksi pembelaan
terakhir dalam perbicaraan kes tersebut sepatutnya menyambung
keterangannya tetapi selepas mengangkat sumpah, dia tidak mahu memberi
keterangan.
“Saya tidak dapat memberi keterangan kerana pemikiran saya tidak
stabil kerana tak cukup tidur dan juga tidak diberi makanan semalam.
“Semalam lepas balik dari mahkamah, saya diasingkan di dalam sebuah
bilik tertutup bersama 5 warga asing. Saya tak tidur sepanjang malam
kerana mereka asyik berbual dan tidak tidur.
“Sebelum ini saya ditempatkan bersama tertuduh lain dalam kes ini.
Semalam lepas balik dari mahkamah, saya tak diberi makanan. Selalu saya
diberi makanan lepas balik dari mahkamah,” katanya dalam bahasa Tamil
yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.
Hakim Datuk Azman Abdullah kemudiannya memanggil pihak Jabatan
Penjara Sungai Buloh untuk mengesahkan perkara itu bagaimanapun tiada
wakil dari penjara ketika perbicaraan kes itu.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa sebab ia bukan di bawah bidang
kuasa saya. Ia adalah di bawah kuasa Jabatan Penjara. Mungkin dia
ditempatkan berasingan kerana kenyataannya semalam mengatakan nyawanya
dalam bahaya. Saya meminta peguam V Rajehgopal yang mewakilinya
meneruskan pemeriksaan utama,” kata hakim.
Bagaimanapun, prosiding yang masuk hari ke-16 itu tidak dapat
diteruskan kerana tertuduh tetap tidak mahu menjawab soalan peguam malah
mengadu pemikirannya tidak stabil untuk memberi keterangan.
Semalam, Ravi Chandaran dalam keterangan membela dirinya memberitahu
bahawa itu mungkin keterangan terakhirnya dan dia tidak pasti sama ada
dia masih hidup ataupun akan mati selepas memberi keterangan itu.
R Dinishwaran, A K Thinesh Kumar, M Vishwanath; S Nimalan, Ravi
Chandaran, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, mengaku tidak
bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari
Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7
pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan
dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati
mandatori, jika sabit kesalahan.
Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi
Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55,
diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan
Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.
FMT
No comments:
Post a Comment