Umno dilihat perlu lebih kuat berdiri atas nama sendiri daripada
mengharapkan sokongan PAS untuk terus diterima masyarakat, kata bekas
ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, walaupun wujud kemungkinan gabungan kerjasama dengan
parti Islam itu pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Sungai Kandis, namun ia bukan bersifat jangka panjang.
“Untuk kali ini (PRK), tidak mengapalah sebab PAS tidak bertanding
tapi bergabung untuk masa depan, kita kena tengok dulu,” katanya kepada
pemberita selepas membantu kempen calon BN Datuk Lokman Noor Adam di
Taman Setia, Johan Setia, di Klang hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lokman Noor pada
Selasa lepas yang yakin mendapat kerjasama daripada PAS dan jentera
kedua-dua parti pembangkang itu akan mengadakan kempen bersama dalam
masa terdekat
Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata , pengundi DUN
Sungai Kandis harus bijak memilih wakil rakyat baharu kerana sekiranya
BN menang, suara pembangkang akan menjadi lebih kuat bagi memastikan
kerajaan negeri lebih berakauntabiliti.
“Seperti kita lihat, (komposisi) DUN Selangor sangat berat
sebelah kerana BN hanya ada empat kerusi saja (daripada keseluruhan 56
kerusi DUN). Dalam Malaysia Baharu ini sekurang-kurangnya biar ada semak
dan imbang.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lepas, Pakatan Harapan
menang besar apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN Selangor dengan
BN hanya empat kerusi dan PAS (1).
Ketika ditanya mengenai situasi politik di Sungai Kandis hasil
jelajahnya membantu kempen BN hari ini walaupun bertemu
dengan penyokong PKR, Khairy mengakui wujudnya kematangan politik di
kawasan itu dan ia bertepatan dengan konsep Malaysia Baharu yang tidak
mengamalkan serangan politik peribadi, ganas mahupun samseng.
PRK DUN Sungai Kandis yang merupakan PRK pertama selepas PRU14,
diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat
kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Dalam PRK pada 4 Ogos ini, Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan ditentang oleh Lokman Noor dan calon Bebas, K. Murthy.
- Bernama
No comments:
Post a Comment