Sunday, July 8, 2018

Lim: Saya akan pertahan Najib jika benar dia mangsa politik

Diterbitkan
   
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata beliau sendiri akan bangkit mempertahankan Datuk Seri Najib Razak jika bekas perdana menteri itu benar-benar menjadi mangsa dendam politik.

"Jika Najib boleh tunjukkan beliau memang mangsa dendam politik, saya sanggup perjuangkannya," katanya kepada pemberita di Semenyih hari ini.
Pada 5 Julai lalu, anak Najib, Datuk Nazifuddin Najib berkata bapanya hanyalah seorang lagi mangsa pendakwaan berat sebelah ekoran "politik feudal yang penuh dendam"

Lim mempersoalkan dakwaan itu dengan membangkitkan bagaimana Najib tidak dipaksa ke mahkamah dengan memakai seragam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dibenarkan untuk membayar ikat jamin secara ansuran.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu juga memuji layanan SPRM itu dan berharap ia akan menjadi amalan badan itu.
Rabu lalu, Najib dihadapkan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.

Najib yang ditahan SPRM sehari sebelumnya hadir ke mahkamah dengan memakai kot dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.
Sejumlah RM500,000 dibayar pada hari itu, dan bakinya perlu dibayar Isnin ini
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment