Sunday, July 8, 2018

Musk hantar kapal selam mini

musk
Musk
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Usahawan teknologi dan pengasas Tesla, Elon Musk menerusi Twitter memaklumkan pasukannya dari SpaceX di Los Angeles membina sebuah kapal selam mini untuk membantu operasi menyelamat kesemua 12 remaja lelaki bersama jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua Tham Luang selama dua minggu.

"Kami mendapat maklum balas positif dari Thailand. Kapal selam kecil itu dapat membawa dua penyelam dan saiznya cukup kecil untuk melalui ruang sempit," katanya sambil menambah pembinaan kapal selam mini itu akan mengambil masa lapan jam dan 17 jam untuk dihantar ke Thailand.

Kementerian Pertahanan memaklumkan pasukan jurutera yang pakar dalam bidang terowong dan pembinaan dari firma jutawan terbabit tahu bagaimana untuk memasuki gua tersebut.

Sementara itu, Prof Edgar Choueiri dari Universiti Princeton yang pakar dalam penyelidikan roket menyifatkan idea kapal selam Musk itu adalah kenderaan mempunyai saiz sesuai untuk membawa keluar kesemua mangsa.

Terdahulu, Musk turut mencadangkan pembinaan tiub nilon yang boleh melenting untuk membentuk terowong udara bawah air.

Ia bukan usaha pertama Musk dalam memberi bantuan kecemasan kerana jutawan terbabit pernah menyediakan bateri untuk menyalakan lampu selepas Puerto Rico terpaksa bergelap akibat dibadai hurikan ganas, Maria pada tahun lalu. - Straits Times   

No comments:

Post a Comment