Tuesday, July 17, 2018

Penganggur dipenjara 4 bulan kerana pukul isteri

Bernama  | 
   
Tindakan seorang penganggur yang mabuk menumbuk kepala dan menendang perut isterinya akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu selepas Azman Mastor, 45, menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding sebutan kesnya hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Azman didakwa mencederakan isterinya dengan cara antaranya menendang perut dan menampar muka wanita itu di sebuah rumah di Angsana USJ 1, Subang Jaya, di Petaling Jaya pada 11.30 malam, 31 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh bagaimanapun, Azman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih perlu menanggung ibunya yang sudah tua.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa telah datang ke rumah tertuduh bagi mengambil dua orang anaknya.
Tertuduh yang sedang mabuk kemudian mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak memukul mangsa.
- Bernama

No comments:

Post a Comment