Malaysiakini
PARLIMEN | Sesi perbahasan di
parlimen bagi penggal ke-14 bertukar menjadi gelanggang anggota-anggota
parlimen menjerit selama hampir sejam.
Malah, seringkali jeritan anggota-anggota parlimen menenggelamkan
suara Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dilihat tidak dapat
mengawal keadaan.
Kekecohan hanya reda apabila Mohd Rashid menangguhkan sesi perbahasan pada pukul 1 tengah hari untuk waktu rehat.
Kekecohan bermula sejurus selepas Datuk Johari Abdul Ghani
(HARAPAN-Sungai Petani) membentangkan usul terima kasih kepada ucapan
Yang di-Pertuan Agong semalam.
Ketika membentangkan usul itu, Johari menggesa anggota parlimen
mematuhi saranan Yang di-Pertuan Agong agar anggota parlimen menjaga
kelakuan masing-masing sambil merujuk beberapa insiden yang terjadi
sebelum ini.
Ramkarpal Singh (HARAPAN-Bukit Gelugor) yang bersetuju kenyataan
Johari memetik kejadia pada 2009 yang menyaksikan anggota parlimen Bukit
Gelugor ketika itu, mendiang Karpal Singh dikepung oleh sekumpulan
anggota Pemuda Umno.
Ramkarpal menyifatkan anggota Pemuda Umno itu sebagai "samseng" yang
kemudian mendapat bantahan daripada anggota parlimen pembangkang yang
turut melemparkan tuduhan sama.
Selepas pertengkaran berlarutan seketika, Mohd Rashid mengarahkan
Ramkarpal dan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menarik semula
perkataan "samseng".
Kedua-dua anggota parlimen itu enggan berbuat demikian namun Mohd
Rashid tidak mengambil apa-apa tindakan yang kemudian menyebabkan
kekecohan terjadi lagi.
Anggota parlimen BN juga dilihat cuba "mengajar" Mohd Rashid untuk
mengawal diri sendiri sedangkan mereka dilihat tidak mempedulikan arahan
timbalan speaker Dewan Rakyat itu.
Mohd Rashid akhirnya diselamatkan oleh loceng yang berbunyi menandakan waktu rehat.
No comments:
Post a Comment