Wednesday, July 18, 2018

Putrajaya lantik peguam dapatkan berbilion ringgit dari bank Singapura

 | July 18, 2018
Wang yang dikaitkan dengan 1MDB itu disimpan dalam akaun bank milik 53 individu, termasuk ahli perniagaan Jho Low.
1MDB disiasat sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Malaysia melantik peguam untuk mendapatkan kembali berbilion ringgit dikaitkan dengan 1MDB, wang yang disimpan dalam bank Singapura di bawah nama 53 individu, kata sumber.

Menurutnya, Peguam Negara, Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma guaman Singapura, Tan Rajah & Cheah, untuk mewakili kerajaan Malaysia.
Antara 53 individu yang akaun bank mereka dibekukan Singapura ialah ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan bekas pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman.

Malaysia perlu melantik sebuah firma guaman tempatan kerana memerlukan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula wang yang boleh mencecah berbilion ringgit.

Dipercayai Thomas menemui rakan sejawatannya dari Singapura, Lucien Wong, bulan lalu untuk membincangkan perkara itu.
Pasukan Petugas Khas 1MDB yang dilantik Putrajaya untuk menyiasat skandal itu, sedang bekerjasama dengan pasukan petugas sama yang ditubuhkan pihak berkuasa Singapura untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Mereka turut mengumpul bukti dan menjejaki saksi di Singapura.
“Kerjasama kami turut menyasarkan pengumpulan bukti dan mengesan saksi di Singapura secepat mungkin,” kata pasukan petugas itu dalam satu kenyataan.
“Pasukan itu juga akan mencari jejak wang bagi mengesan dana dan aset sedia ada.”

Sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland, sedang menyiasat dakwaan AS$4.5 bilion yang diseleweng dari 1MDB, dana yang diasaskan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pihak berkuasa Singapura mengambil tindakan terhadap beberapa individu, termasuk bekas pengurus kekayaan Bank BSI, Yeo Jiawei atas pembabitannya dalam aktiviti pengubahan wang berkaitan 1MDB.

Ia turut menutup Falcon Private Bank cawangan Singapura dan membatalkan status Bank BSI Ltd sebagai bank saudagar di republik itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar akan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB ke muka pengadilan.

Awal bulan ini, Najib dihadapkan ke mahkamah atas 4 pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM42 juta yang dipindahkan ke akaun peribadinya melalui sebuah entiti dikaitkan dengan 1MDB

No comments:

Post a Comment