Ketua Wanita PKR itu berkata, pelantikan mereka yang
mempunyai pertalian darah sebagai ahli majlis tempatan bukan isu, selagi
mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas.

Zuraida Kamaruddin berkata, tidak salah melantik seseorang yang mempunyai pertalian darah sebagai ahli majlis tempatan.
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menolak dakwaan
kronisme dan nepotisme dalam parti itu, selepas 2 pemimpinnya di
Selangor melepaskan jawatan bagi membantah pelantikan ahli majlis
tempatan.
Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, mempertahankan pelantikan itu.
“Tak salah meletakkan seseorang dalam jawatan itu, walaupun mereka mempunyai pertalian darah.
“Ia bukan isu selagi mereka boleh melakukan kerja mereka,” katanya
selepas mengadakan pertemuan lebih 2 jam dengan pemaju dan penduduk
PPA1M Bukit Jalil di sini, hari ini.
Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman dan Ketua
Pemuda PKR Sabak Bernam, Abdul Mutalib Ahmad melepaskan jawatan mereka
dengan mendakwa wujud amalan kronisme dan nepotisme dalam pemilihan ahli
majlis di Selangor.
Awal hari ini, Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed
Osman meletakkan jawatan, mendakwa segelintir pemimpin PKR negeri
mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme dengan menggunakan pelantikan
politik sebagai habuan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.
Syed Badli Shah berkata, sikap mementingkan kroni semakin parah dalam
usaha pembahagian jawatan politik, apabila hanya pengikut kabilah
tertentu yang akan diberi habuan dari segi jawatan.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika PKR bersiap sedia untuk
pemilihan dalam parti selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9
Mei lalu.
Sebelum itu, satu sumber dalam parti menyalahkan pelantikan atas arahan seorang menteri persekutuan.
“Menteri itu melantik orang yang beliau kehendaki sebagai ahli majlis
dan dengan berbuat demikian, ia memandang rendah menteri besar
Selangor,” kata sumber itu kepada FMT merujuk Amirudin Shari.
Sementara itu, Zuraida yang dilihat sekutu utama Timbalan Presiden
PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyambut baik keputusan Rafizi Ramli
bertanding jawatan nombor 2 itu kerana ia sebahagian daripada sistem
demokrasi dalam parti.
Katanya, Rafizi berbuat demikian kerana beliau merasakan dirinya layak.
“Rafizi boleh bertanding jawatan itu kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja.”
Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi, sehingga kini belum
mengumumkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya atau
bertanding jawatan lain, begitu juga dengan Zuraida
No comments:
Post a Comment