Permohonan dibuat kerana tidak ada peguam mewakili
pemilik kapal layar itu muncul mencabar waran tangkap dan perisytiharan
yang dipohon oleh 1MDB.
PETALING JAYA: Kumpulan 1MDB memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi
untuk menjual kapal layar mewah berharga RM1 bilion Equanimity yang
kini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Dokumen mahkamah yang dilihat oleh FMT mendedahkan permohonan itu
yang difailkan petang Selasa lepas menyebut penjualan itu adalah perlu
berikutan kos penyelenggaraan kapal layar mewah itu tinggi.
Pengurusan kes ditetapkan esok.
Dalam permohonannya, plaintif, 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB
Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia meminta sherif atau
pendaftar mahkamah menjual kapal layar itu melalui lelongan awam atau
triti persendirian.
Ia berkata, bayaranya, sama ada dalam dolar AS, ringgit atau euro
hendaklah dimasukkan ke dalam akaun dengan faedah sehingga kes itu
selesai diputuskan.
Pemohonan ini dibuat setelah pemilik yang diandaikan, yang
berpangkalan di Kepulauan Cayman dan dinamakan sebagai defendan, gagal
memfailkan permohonan untuk mengetepikan waran tangkap atau mencabar
perisytiharan yang dipohon oleh defendan dalam tempoh 14 hari yang tamat
pada Selasa lepas.
Plaintif yang mendapat waran tangkap ke atas kapal tu pada 6 Ogos,
juga memfailkan satu perisytiharan bahawa mereka adalah pemilik kapal
layar itu kerana ia dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.
Mereka juga memohon perintah untuk menjual kapal layar itu dan hasil
jualan diserahkan kepada pemilik sah selepas diadakan perbicaraan
berhubung perisytiharan tersebut.
Ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikatakan memilki kapal layar itu
melalui sebuah syarikat, mendakwa rampasannya tidak sah. Beliau juga
menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghormati
undang-undang.
Dr Mahathir dan Peguam Negara, Tommy Thomas bagaimanapun menegaskan
penahanan itu sah dan dibuat mengikut undang-undang admiraliti.
Mereka juga mencabar Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, supaya
mengetepikan waran tangkap itu dan mencabar perisytiharan yang diminta
oleh plaintif.
Peguam Arun Kasi berkata, beliau percaya permohonan perintah jualan
itu dibuat sebaik sahaja tamat tempoh 14 hari kerana kos penyelenggaraan
Equanimity “sangat besar”.
Laporan sebelum ini menyebut kos penyelenggaraan kapal layar itu dan anak kapalnya mencecah angka RM3 juta sebulan.
“Nilai harga jualan kapal layar itu juga meragukan kerana ia merupakan kapal layar yang terlalu mewah,” katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja kapal layar itu dirampas, undang-undang
menghendaki pemiliknya memfailkan kehadiran dalam masa 14 hari.
“Peliknya sehingga kini tiada peguam muncul bagi pihak pemilik Equanimity, dan tiada kehadiran difailkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan 1MDB tidak boleh mengetepikan
kemungkinan pemiliknya muncul untuk mencabar perisytiharan yang
dimintanya.
Berdasarkan rekod, pemilik kapal layar itu merupakan sebuah syarikat, bukan individu.
Beliau berkata, sekiranya pemilik mencabar permohonan 1MDB, maka
palintif perlu membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian
bahawa wang dari 1MDB telah digunakan untuk membeli kapal layar
tersebut.
Beliau berkata, plaintif tidak boleh bergantung pada keterangan
dengar cakap, tetapi sebaliknya menggunakan testimoni kakitangan Jabatan
Kehakiman AS di mahkamah Malasyia.
Jika pemilik gagal mengemukakan cabarannya, maka katanya, 1MDB mungkin akan membuat permohonan penghakiman ingkar
FMT
No comments:
Post a Comment