Saturday, August 18, 2018

'Anggota Umno dah dapat petunjuk'

Anne Muhammad  |  Diterbitkan
   
PRK SERI SETIA | Bermusuh di pentas politik selama berdekad-dekad, hari ini ketegangan itu kelihatan mengendur ketara.
Penyokong PAS dan Umno dilihat bertegur sapa dengan mesra dan tidak lagi kelihatan tanda-tanda perseteruan seperti sebelum ini.

Asalnya amalan bertakbir penuh bersemangat itu adalah identiti PAS. Namun di sekitar kawasan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya pagi tadi, keadaan berbeza.
Kali ini penyokong Umno menjeritkan ungkapan "takbir!" dan ia disambut dengan laungan "Allahuakbar" oleh penyokong PAS.

Penyokong Umno juga turut membawa plakad “Anak muda undi PAS” dan “Dr Halimah Ali calon PAS Seri Setia” ketika Umno atau BN tidak meletakkan calon mereka bagi mencabar Pakatan Harapan (HARAPAN) di kerusi berkenaan.

Ketika hujan lebat, penyokong PAS dan Umno berteduh di bawah bumbung sama.
Menanggapi perkembangan itu seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan percaya perubahan sikap anggota akar umbi Umno untuk bersama-sama parti terbabit ialah petanda mereka sudah mendapat "petunjuk" Allah bagi menegakkan Islam.

Tergelincir dari landasan
Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan Hoslan Hussin berkata memang agak "janggal" melihat anggota Umno turun bersama-sama PAS pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia di Petaling Jaya hari ini.
“Pemimpin Umno datang turun berkempen (bersama-sama PAS) memang rasa janggal, tapi inilah dia kurnia Allah.

"Umno tak relevan dan nampaknya satu-satunya parti Islam yang tulen ialah PAS.
“Mereka turun kerana pemimpin mereka banyak lakukan penyelewengan dan nampak kelemahan ketara di kalangan orang Melayu hingga tergerak untuk turun membantu PAS yang lama berjuang sejak 1951.
“Begitulah, jika Allah bagi petunjuk tidak ada siapa dapat menghalangnya," kata Hoslan (gambar) kepada Malaysiakini.
Menyeru agar orang Melayu perlu bersatu selepas berpecah-belah, Hoslan menambah selama ini PAS menentang Umno kerana dasar parti berkenaan, bukan atas sifat individu.
Justeru katanya mana-mana pihak yang tidak bersama PAS sekarang perlu menyertai mereka agar tidak tergelincir dari landasan yang betul.

"Gagasan dibawa PAS memang relevan. Hanya orang yang tergelincir dari PAS saja yang buat parti baru," katanya.
Dalam proses penamaan calon hari ini kira-kira 100 orang penyokong Umno memakai baju rasmi parti berwarna merah turut turun memberi sokongan kepada calon PAS Dr Halimah Ali.
Hadir sama Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali dengan nama Papagomo.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang Nazhar Othman pula berkata situsia yang dilihat hari ini merupakan pengalaman pertamanya melihat akar umbi Umno turun membantu PAS.
Beliau yang datangnya dari Pekan Pahang berharap supaya anggota Umno terus istiqamah dalam perjuangan membela Melayu dan Islam.

“Kita cuma berdoa supaya mereka terus mengikuti dan ambil Islam sebagai dasar.
"Mereka itu pun rakan-rakan kita, saudara-saudara kita. Kita doa mereka kembali pada Islam. Yang pentingnya Islam, bukan individu dan kita nak menerima islam sebagai addin,” katanya.

Ikut yang baik
Mengakui akar umbi PAS sukar menerima hubungan akrab antara PAS dan Umno, namun kata Nazhar, mereka perlu berjiwa besar untuk memaafkan kelakuan parti Melayu terbabit.
“Bukan senang orang PAS nak terima Umno, lebih-lebih lagi akar umbi.
"Anggota di bawah akan mengenang apa yang Umno buat pada PAS. Namun pada kita Islam tak boleh macam tu.

"Walaupun dia membunuh orang, apabila dia bertaubat, habislah (kesalahan) itu,” katanya.
Anggota Jawatankuasa Muslimat PAS Titiwangsa Norliza Mat Isa pula berpendapat gabungan antara PAS dan Umno dilihat sangat sesuai kerana mereka sama-sama melakukan sesuatu yang baik iaitu membela Islam.

“Bagi kami gabungan ni OK sebab kita berbaik sesama Islam, kan (tindakan itu) baik? Dari segi apa yang dia buat baik kita ikut, kalau dia langgar syariah, kita janganlah ikut,” katanya.
Norliza turut berkata kemungkinan hati penyokong Umno telah berubah untuk bersama PAS dan menegaskan Umno yang perlu mengikut dasar PAS.
“Saya rasa bergabung lebih baik. Mereka yang akan ikut kami bukan kita ikut dia,” katanya.
Beliau turut berkata akar umbi seharusnya mengikut arahan pimpinan yang memintanya bersama Umno.
“Kalau pimpinan suruh sokong memang kena ikut, mungkin ada yang terbaik bagi beliau, kita tak tahu kan,” katanya.

PAS, Umno berbeza cuma bendera
Sementara itu semangat yang sama turut dapat dilihat pada kira-kira 100 penyokong Umno yang hadir di tempat penamaan calon tadi.
Di kalangan penyokong wanita, mereka datang dengan pelbagai fesyen. Ada berkebaya, berbaju kurung dan sebagainya namun di sebalik perbezaan itu, persamaannya tetap ada - ia berwarna merah.
Dan mereka hadir untuk menyokong calon PAS dan tetap menonjol dalam ‘lautan’ hijau penyokong PAS.

Ketua Wanita Umno Gombak Roszilah Zainuddin (gambar) berkata kehadirannya bukan sahaja boleh dilihat sebagai sokongan kepada Dr Halimah, malah tanda mahu Islam dan Melayu diperkukuhkan.
“Saya rasa dah sampai masanya Umno perlu bersatu demi dan bekerjasama demi memartabatkan Islam, sebab sekarang banyak dah jadi isu songsang, banyak diperkotak-katikkan, seperti LGBT.
"Itu budaya songsang di luar agama kita, kenapa kita sokong" katanya.

Roszilah berkata, Umno dan PAS memperjuangkan dasar yang sama iaitu memartabatkan Islam menyebabkan mereka turut terpanggil untuk menyokong Halimah.
“Kami dengan PAS ini sama saja, Islam dan Melayu, cuma bendera saja lain-lain.
"Kalau calon ini boleh menang, kenapa tidak Umno beri sokongan?" katanya.
Setiausaha Wanita Umno Gombak Nor Merly Atan pula berkata parti itu akan menyokong apa sahaja usaha jika ia memperjuangkan Melayu dan Islam.
“Kita berseteru semasa pilihan raya sebab semua ada misi dan visi, tapi kita dah jadi pembangkang bukan bermaksud tak boleh kerjasama.
"Kita cakap Malaysia negara Islam tapi kalau bangsa lain berani cabar takkan kita duduk diam.
“Sekarang PAS dapat tempat bertanding, apa salahnya kita menyokong,” katanya.
Penolong Setiausaha Umno Klang Kamsiah Kamaruddin pula berkata dia hadir hari ini setelah mendapat arahan daripada pimpinan tertinggi Umno.

“Kita kalau ikut pucuk pimpinan kita kena beri sokongan padu demi agama yang diperkotak-katikkan HARAPAN.
"Kita letak parti satu tempat, kita letak Islam dan begitu juga siapapun bertanding, kita undi solid pada PAS,” katanya.

Kamsiah turut berkata beliau juga akan turun meraih undi di rumah-rumah penyokong Umno dan HARAPAN untuk mengundi PAS.
“Saya akan tolong jentera (PAS). Apatah lagi calon wanita, matlamatnya ialah nak sokong calon wanita kita. Apa sahaja arahan pucuk pimpinan kita akan ikut,” katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment