Saturday, August 18, 2018

Awasi tawaran menjadi pemilik akaun 'keldai'

Sinar Harian
Awasi tawaran menjadi pemilik akaun 'keldai'
Abu Hassan (tengah) bersama dif kehormat selepas merasmikan program Karnival Kewangan BNM di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
(Ubah saiz teks) 
 
TAIPING - Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pihak tertentu untuk menjadikan diri mereka sebagai pemegang akaun bank 'keldai' pada masa depan.

Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, istilah pemegang akaun 'keldai' itu sebenarnya merujuk kepada mana-mana individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh pihak ketiga untuk memasukkan wang orang lain dan mengeluarkannya atas arahan pihak ketiga terbabit.

Menurutnya, kebiasaannya pihak ketiga yang menawarkan tawaran terbabit akan menggunakan akaun bank milik individu terbabit sebagai 'keldai' bagi tujuan melaksanakan aktiviti jenayah.
"Selalunya penjenayah akan memberikan sedikit imbuhan kepada pemilik akaun yang mungkin mereka tidak sedar akuan mereka telah digunakan oleh penjenayah.

"Terdapat lebih 4,000 kes akuan keldai disiasat polis pada tahun 2017 dan kebanyakan individu menjadi mangsa mendakwa mereka tidak tahu akaun mereka digunakan bagi aktiviti jenayah" katanya kepada media pada majlis Karnival Kewangan BNM di sini hari ini.
Abu Hassan berkata, sesetengah pemilik mungkin tidak tahu tetapi mereka diperdaya dengan diajar untuk membuka akaun dan menguruskannya mengikut kehendak pihak ketiga.

Menurutnya, BNM tidak mahu pemilik akaun keldai ini dibawa ke muka pengadilan hanya kerana menerima upah sedikit hasil perbuatan jenayah pihak ketiga.
"Justeru, BNM menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan tidak membenarkan orang ramai membuka akuan mereka untuk digunakan pihak ketiga.

"Bagi akaun keldai dikenal pasti, kebiasaannya BNM dengan polis akan bekerjasama untuk melihat proses pengaliran wang daripada akaun tersebut supaya polis dapat menyiasat punca sebenar berlaku jenayah dan dalangnya dapat diberkas.

"Mana-mana akaun 'keldai' yang dikenal pasti dan dikesan dalang jenayahnya akan diambil tindakan pembekuan akaun bagi mengelakkan lebih banyak pihak menjadi mangsa,"katanya.
Mengenai ancaman pengedaran not wang palsu yang berlaku di negara ini, Abu Hassan menegaskan ancamannya tidak serius kerana jumlah penyebaranya masih sangat sedikit.

Menurutnya, kebiasaannya not wang kertas RM100 digunakan untuk tujuan pemalsuan kerana nilai itu paling berbaloi, bagaimanapun ciri keselamatan not mata wang negara sebenarnya sangat tinggi.
"Apapun, kita perlu berwaspada dan tidak terpedaya dengan tindakan penggunaan not mata wang palsu terutama di kawasan sibuk dan pada waktu malam di mana penglihatan kurang jelas.

"Kita juga sentiasa memberikan sedikit ilmu supaya peniaga dan penjaja mempunyai kefahaman jelas dalam mengenali wang kita yang memiliki ciri keselamatan terbaik berbanding dengan wang palsu,"katanya.

No comments:

Post a Comment