Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau adalah individu dalam
rakaman audio yang mengkritik keras Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Umum PKR itu berkata beliau bukanlah seorang yang menggunakan bahasa kesat, seperti percakapan dalam rakaman itu.
"Saya tak guna bahasa kesat. Garang-garang saya pun, istilah 'barua'
(saya) tak pernah pakai," katanya ketika ditemui pemberita dalam program
ceramah di Bandar Puteri, Selangor, malam ini.
Beliau berkata rakaman tersebut mungkin sebahagian 'permainan politik" menjelang pemilihan PKR tak lama lagi.
"Ia tidak sihat...mereka sepatutnya lawan saya secara terbuka," katanya.
Hari ini tiga rakaman pendek - kurang 10 saat - yang didakwa suaranya tersebar di WhatsApp.
Dalam rakaman itu, suara mirip Anwar menyifatkan Azmin sebagai "barua Mahathir".

Suara itu juga berkata dia menyuruh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli
melawan Azmin dalam pemilihan PKR, serta mengkritik Mahathir atas
pelantikannya sebagai pengerusi Khazanah Nasional dan membangkitkan
semula skandal pertukaran wang asing (forex) pada 1990-an.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak memberi sebarang ucapan
selepas pengumuman Khazanah kecuali ketika berkempen untuk PRK Sungai
Kandis.
Ketika ditanya sama ada rakaman itu bertujuan merosakkan hubungan
dalam HARAPAN, beliau berkata mereka tidak terlalu bodoh untuk mudah
mempercayai rakaman itu.
Anwar ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) berkenaan skandal Forex berkata Mahathir tidak memberi sebarang
arahan kepada Bank Negara untuk terbabit dalam pasaran tukaran wang
asing.
Rakaman suara itu muncul di saat spekulasi Azmin mungkin bertanding
jawatan presiden PKR, serta dakwaan cubaan Mahathir dan lingkarannya
untuk menekan kemajuan politik Anwar.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment