
- Gambar hiasan
(Ubah saiz teks)
SINGAPURA - Singapura menyambut baik cadangan Malaysia untuk memulakan
perbincangan mengenai Projek Keretapi Laju (HSR), demikian menurut
Kementerian Pengangkutan (MoT) republik ini hari ini.
Kenyataan itu berkata, kerajaan Singapura telah menerima surat daripada
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
bertarikh 23 Julai 2018.
Ia mendedahkan bahawa dalam surat tersebut, Azmin berkata bahawa
kerajaan Malaysia sedang mengkaji butiran Projek HSR dan akan memulakan
perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi.
Kenyataan itu berkata, kerajaan Singapura telah meminta melalui saluran
diplomatik sejak 1 Jun 2018 supaya kerajaan Malaysia memberi jawapan
bertulis menjelaskan kedudukannya mengenai Projek HSR.
Kerajaan Singapura juga menyarankan agar jika kerajaan Malaysia
berhasrat untuk membincangkan Projek HSR, perbincangan itu perlu
dilakukan selewatnya 31 Julai 2018, katanya.
"Sehingga 1 Ogos 2018, Malaysia tidak mencadangkan tarikh mesyuarat kepada Singapura," kata MoT.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata bahawa tarikh itu akan ditetapkan dan mesyuarat mungkin akan diadakan bulan ini.
Sementara itu, mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS), MoT berkata
ia tidak mendengar berita dari Malaysia secara rasmi mengenai langkah
yang dicadangkan bagi pembentukan syarikat usaha sama sebagai Pengendali
Lingkaran RTS, dan berharap untuk menerima respons rasmi mereka tidak
lama lagi.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan
berkata, bahawa sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan untuk
memastikan kelancaran pelaksanaan projek, sebaik sahaja kelulusan
diterima daripada Kabinet.
Anthony berkata, kertas kerja mengenai projek itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat.
Menurutnya, walaupun kerajaan telah bersetuju secara prinsip untuk
melaksanakan projek RTS, maklumat terperinci mengenai perkara itu masih
diperlukan untuk dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
"Kami gembira kerana Malaysia tetap komited kepada Projek RTS Johor Bahru-Singapura.
"Singapura tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk
memastikan kelancaran pelaksanaan Projek Lingkaran RTS," kata kenyataan
itu.
SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia sepatutnya telah menubuhkan
sebuah syarikat usaha sama untuk bagi mengendalikan lingkaran berkenaan
pada 30 Jun lepas. - Bernama
No comments:
Post a Comment