Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan tidak terbabit
dengan pemberian kontrak daripada Telekom Malaysia Bhd (TM) bernilai
RM11.16 juta kepada syarikat pengeluar produk fiber optik, Opcom
Holdings Bhd, lapor media tempatan.
Mukhriz dipetik Berita Harian berkata beliau sudah
meletakkan jawatan dalam Opcom semenjak tahun 2009 lagi dan tidak
mempunyai kaitan dalam pengurusan syarikat berkenaan, namun masih
mengekalkan pegangan saham yang dicagarkan kepada bank.
"Saya meletak jawatan (dalam Opcom) sebelum menjadi Timbalan Menteri
lagi pada 2009 dan perkara itu semua ada dalam pengisytiharan aset dan
liabiliti kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan SPRM
(Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
"Jadi apa jua keputusan dibuat Opcom, saya tidak langsung terbabit
mahu pun ambil tahu," jelas Mukhriz mengulas dakwaan syarikat berkenaan
mempunyai kaitan dengan dirinya, petik laporan akhbar harian itu di
Wisma Darul Aman, semalam.
Laporan itu juga memetik Mukhriz berkata, pihaknya juga tidak
mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan pihak TM yang
menganugerahkan projek terbabit.
Pada 31 Julai 2018 lalu, Opcom melaporkan kepada Bursa Malaysia
bahawa ia telah menerima surat penganugerahan kontrak 'Rakan Unifi'
bernilai RM11.16 juta pada 14 Mei, empat hari selepas Tun Dr Mahathir
Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.
Semalam, TM berkata Opcom adalah antara 19 kontraktor yang dianugerahkan kontrak selama 17 bulan, bermula pada 2 Julai.
Kontrak pemasangan dan pemulihan jalur lebar Telekom Malaysia (TM)
yang dianugerahkan kepada firma milik Datuk Seri Mokhzani Mahathir,
Opcom Holdings Bhd dilakukan melalui tender terbuka dan telah diputuskan
sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
TM berkata tender terbuka untuk kontrak Rakan Unifi itu bermula pada
bulan Januari, dengan proses penilaian tamat pada bulan April.
"Lembaga pengarah TM meluluskan penganugerahan kontrak dalam mesyuarat yang diadakan pada 24 April," kata syarikat itu kepada Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment