(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Indonesia berminat untuk belajar daripada Malaysia,
khususnya mengenai sistem pendaftaran syarikat dan perniagaan yang
dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi meningkatkan
kemudahan menjalankan perniagaan di republik itu.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia
Indonesia Dr Yasonna H Laoly selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin
Nasution Ismail, di sini hari ini.
Laoly berkata kementeriannya yang mengendalikan hal ehwal pendaftaran
syarikat dan perniagaan di Indonesia memikul tanggungjawab untuk menarik
pelabur dan melancarkan proses menjalankan perniagaan.
Menurutnya Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan agar proses
pendaftaran perniagaan dan syarikat di republik itu dipercepat sekali
gus meningkatkan kedudukannya dari 71 kepada 41 dalam Laporan
Menjalankan Perniagaan (DB) Bank Dunia 2018 .
“Di Indonesia, sistem pendaftaran syarikat dan perniagaan terbatas dan
memakan masa beberapa bulan... sehubungan itu, dalam rangka kerja ke
Malaysia, kami ingin belajar daripada pengalaman Malaysia khususnya
sistem pendaftaran yang akan mengurangkan kos, masa dan proses
menjalankan perniagaan,” katanya.
Laporan DB Bank Dunia 2018 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-24 secara keseluruhan daripada 190 ekonomi dunia,
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Malaysia berminat untuk
mempelajari sistem ‘Online Single Submission (OSS), iaitu sistem
pelesenan perniagaan yang dilancarkan Indonesia baru-baru ini.
“Kita boleh belajar daripada pengalaman Indonesia untuk menguruskan
jumlah syarikat yang banyak. Malaysia dan Indonesia boleh saling belajar
untuk mewujudkan satu suasana dan persekitaran yang kondusif untuk
terus menarik pelabur-pelabur asing,” katanya.
Pada masa ini terdapat 1.2 juta syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan SSM.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Menteri berkenaan Chong
Chieng Jen, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh dan
Ketua Pengarah Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner. -Bernama
No comments:
Post a Comment