WAWANCARA | Walaupun tajuk-tajuk
laporan media tempatan mungkin mencadangkan beberapa projek mega yang
dibiayai oleh China kini dibatalkan berikutan perbincangan Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin China, namun hal itu
tidaklah sebegitu mudah.
Dr Mahathir, dalam temubual pertamanya selepas kembali dari China, memberitahu Malaysiakini bahawa
apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang
bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan
dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, ia belum
dapat ditentukan lagi.
"Hal-hal butiran dan perincian tidak pernah dibincangkan oleh perdana
menteri atau presiden. Kebanyakan kerja ini perlu dibuat oleh pegawai,"
katanya kepada Malaysiakini pada wawancara di Yayasan Kepemimpinan Perdana.
Mahathir berkata apa yang beliau nyatakan adalah keutamaan Malaysia
untuk membatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan saluran
paip Strategic Energy Resources (SSER).
"Saya berkata jika kita boleh, kita ingin membatalkannya. Jika kita
tidak dapat, kita ingin menangguhkan dan melihat cara lain untuk
menyelesaikan masalah kewangan kita.
"Ini adalah pilihan, bukan keputusan hitam dan putih. Anda perlu meninggalkan ruang untuk rundingan," katanya.
Malaysia tak bermusuh dengan China
Mahathir yakin pencapaiannya yang paling besar daripada lawatan lima
hari ke China adalah meyakinkan Beijing bahawa Malaysia tidak bermusuhan
dengan republik itu tetapi perlu membekukan projek-projek itu kerana
kebimbangan kewangan yang tulen.
"China memahami bahawa - tiada seorang pun daripada mereka berkata
'tidak' atau apa-apa (yang bermaksud) seperti itu. Saya menjelaskan
kepada ketiga-tiga pemimpin - perdana menteri, ketua parti serta
presiden.
"Mereka tidak pernah menolak dan mengatakan bahawa ia tidak betul ...
mereka semua mengakui bahawa kami mempunyai masalah kewangan yang hanya
boleh diselesaikan dengan mengurangkan perbelanjaan," katanya.
Mahathir juga menafikan dakwaan pengkritik yang mengatakan Beijing tidak berpuas hati dengannya.
"Mereka tidak kelihatan tidak berpuas hati ... Saya diterima dengan
baik oleh mereka dan kami mempunyai perbincangan yang sangat baik pada
peringkat rasmi dan selanjutnya, saya makan tengah hari dengan perdana
menteri dan makan malam dengan presiden.
"Ketika itu, hubungannya juga sangat mesra," katanya.
Bahagian yang sukar sekarang bergantung kepada jika pendirian
kepimpinan China akan dapat diarahkan kepada birokratnya yang akan
terlibat dengan Putrajaya yang akan merangka arah tuju seterusnya.
Projek-projek ini sebahagian besarnya jatuh di bawah Kementerian
Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi serta kementerian berkenaan dijangka
memainkan peranan penting dalam merundingkan butiran terperinci.
Mahathir berkata pampasan yang dijangkakan itu "sangat besar" dan perlu dibincangkan pada rundingan masa depan.
"Pampasan (yang perlu dibayar) disebut dalam perjanjian itu. Saya
tidak membincangkannya kerana itu yang kami buat ketika rundingan
sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil langkah itu," katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment