WAWANCARA | Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad mahu melihat tembok yang mengelilingi Taman
Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dirobohkan.
Malaysiakini dalam laporan khas tahun lalu menyorot
pembinaan tembok sepanjang kira-kira sembilan kilometer mengelilingi
kompleks industri berkenaan yang digambarkan oleh penduduk tempatan
sebagai "Tembok Besar China Kuantan".
Dr Mahathir dalam wawancara pertamanya selepas pulang dari China
berkata beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di
kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.
"Saya jelaskan kepada kerajaan China bahawa kita akan patuhi
peraturan, undang-undang dan amalan mereka di China, jadi kita juga mahu
mereka mematuhi undang-undang dan amalan di Malaysia. Mereka tidak
pernah menyatakan keengganan kepada hal ini.
"Kami perlu memastikan bahawa pembangunan ini mengikut undang-undang dan peraturan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Pekerja dari China memberitahu Malaysiakini bahawa mereka
dilarang keluar dari kawasan tembok berkenaan dan pekerja
dibahagi-bahagi mengikut wilayah tempat tinggal mereka di China.
Wakil tempatan yang dipilih juga mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan masuk.
"Taman industri bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada
undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara
yang seharusnya dilakukan.
"Tiada sesiapa yang pernah melakukan perkara itu. Anda bina taman industri dan anda tidak benarkan rakyat Malaysia masuk.
"Ini bukan amalan yang kita gunakan. Kita mempunyai ratusan taman
industri dan semuanya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.
"Jadi kita perlu robohkan tembok dan semua (amalan) ini kerana ia salah di sisi undang-undang negara," kata Dr Mahathir.
MCKIP sebelum ini menjelaskan bahawa tembok berkenaan tidak meliputi
keseluruhan kawasan taman industri berkenaan dan hanya terhad untuk
kawasan kompleks Alliance Steel (M) Sdn Bhd.
Perlu beri manfaat kepada Malaysia
Dalam wawancara yang berlangsung dalam bahasa Inggeris itu, Malaysiakini bertanya maksud sebenar Dr Mahathir apabila mengatakan "taking down walls".
Dr Mahathir mengesahkan bahawa ia memberi maksud secara harfiah dan figuratif.
"Taman industri ini dibuat di bawah undang-undang Malaysia dan kita
perlu menguatkuasakan undang-undang kita di dalam taman industri
berkenaan.
"Katakan ada jenayah berlaku di dalam sana, ia tanggungjawab kita. Ia
bukan tanggungjawab pihak yang memiliki taman itu," katanya.
Dr Mahathir pulang dari China pada Selasa lalu selepas berbincang
dengan Beijing berhubung pengkajian semula beberapa projek mega di
Malaysia yang dibiayai oleh negara itu.
Dr Mahathir berulang kali menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri
Najib Razak menjual tanah kepada China sewenang-wenangnya atas nama
pelaburan luar.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menekankan bahawa pelaburan
luar langsung perlu memanfaatkan Malaysia dari segi pengetahuan
teknologi selain peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya
sekadar memberi syarikat China tanah untuk dibangunkan.
Dilancarkan secara rasmi pada 5 Feb, MCKIP dimiliki 49 peratus oleh
Guangxi Beibu Guld International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat
China yang dimiliki oleh kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan 51
peratus pemilikan selebihnya adalah konsortium tempatan, Kuantan Pahang
Holding Sdn Bhd.
Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd merupakan perkongsian awam-swasta yang
terdiri daripada IJM Land Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (30
peratus) dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan
Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).
Upacara pembukaan disempurnakan oleh Najib dan Jia Qinglin yang
ketika itu merupakan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan
Perundingan Politik Republik Rakyat China.
Dibahagikan kepada tiga fasa, pembangunan 1,219 ekar ketika ini akan
disusuli dengan 1,000 ekar dan 800 ekar masing-masing bagi fasa dua dan
fasa tiga.
Sebahagian besar fasa pertama, atau 710 ekar, telah dijual kepada
Alliance Steel (M) Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara dua
syartikat China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan
Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd - menurut jawapan bertulis
sidang DUN Pahang bertarikh 14 Sept.
Jawapan bertulis itu menyatakan Alliance Steel, syarikat CHina
pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina loji keluli bersepadu
moden yang sudah 50 peratus disiapkan dan dijangka mula beroperasi
hujung tahun.
Kerajaan Pahang juga mendedahkan syarikat China yang mengkhususkan
kepada bateri kereta berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP.
Laporan media juga menyatakan sebuah lagi syarikat China akan melabur
dalam taman industri itu bagi membina kilang aluminium.
MCKIP merupakan projek pertama yang akan dianugerahkan status "Taman
Industri Kebangsaan" dan dikatakan akan melonjakkan perkembangan ekonomi
tempatan yang akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada warga
Kuantan.
Wawancara ini dikendalikan bersama oleh Andrew Ong, Ng Ling Fong, Nigel Aw dan Norman Goh.
No comments:
Post a Comment