Monday, August 20, 2018

Malaysia tak menentang mana-mana syarikat China

Sinar Harian
Malaysia tak menentang mana-mana syarikat China
Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kiri) diiringi oleh Presiden Da Jiang Innovations (DJI) Roger Luo (empat,kiri) ketika melawat bilik pameran Da Jiang Innovations (DJI). - Foto Bernama
(Ubah saiz teks) 
 
BEIJING – Kuala Lumpur akan berusaha untuk menjalin hubungan yang lebih baik dengan Beijing kerana ini akan membawa manfaat bersama untuk kedua-dua pihak, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, tumpuan kepada pembangunan ekonomi berbanding konfrontasi menjadi pilihan dalam hubungan antara Malaysia dan China.

Untuk itu, ahli perniagaan China dialu-alukan untuk melabur di Malaysia, katanya ketika berucap pada kira-kira 400 usahawan China dan pemimpin perniagaan di sini pada Ahad.
Dr Mahathir kini dalam lawatan rasmi lima hari ke China.

Dr Mahathir juga memberi gambaran jelas pendirian kerajaan baharu Malaysia berhubung pelaburan dari China.
"Kami tidak menentang mana-mana syarikat China, namun menentang rakyat Malaysia yang meminjam sejumlah besar wang untuk melaksanakan projek yang tidak perlu," katanya pada Forum Pemimpin Usahawan China.

Wujud kebimbangan bahawa isu sensitif membabitkan beberapa projek China di Malaysia akan menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara sejak akhir-akhir ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia sudah menjalin hubungan dengan China sejak hampir 2,000 tahun.

"Dagangan antara kedua-dua negara kini adalah yang terbesar berbanding negara lain di rantau ini," katanya.
"Dulu China sangat miskin, namun kini China sudah kaya ... walaupun pada masa ia merupakan negara miskin, ia merupakan pasaran untuk Malaysia, dan apabila sudah kaya, kita merasakan China adalah pasaran yang besar," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata menerusi perdagangan dan pelaburan China di Malaysia, kedua-dua pihak akan dapat membangunkan pasaran yang lebih besar untuk China.
"Justeru, wujud manfaat bersama dalam hubungan yang baik antara satu sama lain, menyelesaikan masalah sesama kita, bukan menerusi konfrantasi, sebaliknya menerusi rundingan, undang-undang.
"Inilah cara yang akan kita lakukan," katanya dan menambah konfrantasi tidak akan membantu membangunkan ekonomi.

Perdana menteri berkata kedua-dua negara boleh saling melengkapi satu sama lain, terutama dalam bidang ekonomi, untuk manfaat rakyat masing-masing.
Dr Mahathir juga menyentuh mengenai bagaimana China membangun dan muncul sebagai pengeluar utama barangan dan perkhidmatan untuk dunia.

Sambil menggesa masyarakat perniagaan China supaya melabur di Malaysia, beliau berkata tindakan mereka itu akan membantu Malaysia menjadi negara pengeluar daripada hanya sebagai negara pengguna.

Menjawab soalan daripada ahli perniagaan pada forum itu, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan baharu Malaysia di bawah kepimpinannya tidak membenarkan rasuah dalam dalam perniagaan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada dakwaan perniagaan China bahawa beliau sebelum ini terpaksa membuat pembayaran bagi menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan baharu tidak akan membenarkan (perkara itu berterusan) berlaku," katanya.
Kelab Usahawan China yang menganjurkan acara itu dianggotai 60 usahawan terkemuka China dengan jumlah perolehan US$600 bilion tahun lepas.
Pengasas bersama Alibaba, Jack Ma, yang juga pengerusi kelab, menjadi moderator forum berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment