Menteri Kewangan mendakwa bekas ketua setiausaha Perbendaharaan tidak
mengendahkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang meminta
supaya memindahkan peruntukan mencukupi kepada Tabung Bayaran Balik
Cukai (TBBC) seperti sepatutnya.
Kata Lim Guan Eng permohonan itu tidak dipenuhi Tan Sri Mohd Irwan
Serigar Abdullah walaupun ia dibuat secara rasmi melalui surat daripada
ketua pengarah LHDN.
Dalam satu kenyataan penjelasan hari ini Lim berkata Ketua Pengarah
LHDN menulis kepada Mohd Irwan untuk meminta bekas pegawai kanan
kerajaan itu memindahkan lebih banyak wang kepada TBBC.
"Tetapi ia tidak diambil peduli oleh Mohd Irwan," katanya.
Apa yang dilakukan itu, menurut Lim, boleh dianggap sebagai pemalsuan
akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk
digukaan bagi tujuan lain.
Katanya ia juga boleh dianggap cubaan kerajaan BN menutup defisit
mereka supaya kewangan kerajaan dalam dipaparkan dalam keadaan ada
lebihan.
Lim sebelum itu menjelaskan isu mengenai cukar lebihan bayar -
berjumlah RM16.046 bilion sehingga 31 Mei lalu - yang gagal dibayar
balik oleh LHDN kepada pembayar cukai sejak lebih enam tahun lalu.
Siapa patut tanggungjawab
Katanya isu itu sedang disiasat polis sebagai kes pecah amanah.
"Baki kredit yang belum dibayar balik oleh LHDN itu melibatkan 1,653,786 syarikat, individu, persatuan dan yayasan," katanya.
Menurut Lim jumlah tunggakan itu besar kerana berlaku kekurangan
penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun
amanah TBBC.
Katanya bayaran balik cukai hanya boleh dibuat berdasarkan kepada jumlah baki dalam tabung berkenaan.
Berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara setakat 31 Mei lalu, Lim
berkata, baki yang ada dalam TBBC hanya RM1.486 bilion dan ia jauh lebih
rendah daripada keperluan semasa.
"Dengan kata lain wujud kekurangan RM14.56 bilion yang menyebabkan
1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat balik lebihan bayaran mereka
sejak lebih enam tahun lalu.
"Justeru adalah jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan dari
Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap sebagai hasil kerajaan oleh
kerajaan BN.
"Ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor," katanya.
Menurut Lim Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan
mengadakan mesyuarat secara bulanan dan ia dipengerusikan oleh Mohd
Irwan.
Lim kemudian membangkitkan persoalan siapa patut dipertanggungjawabkan atas masalah yang berlaku itu.
"Perkara pokoknya ialah, siapa yang sebenarnya bertanggungjawab?
Adakah Mohd Irwan atau mantan menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak,
atau kedua-duanya sekali?" katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment