Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusof hari ini
menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai "kuda tunggangan DAP".
Kamarul juga memohon maaf kepada Mujahid atas kenyataan itu yang dibuat di Facebook pada 27 Mei 2017.
Justeru
Mujahid juga menarik balik samannya terhadap Kamarul, kata peguam Fitri
Asmuni kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nik Hasmat Nik
Mohamad.
"Penyelesaian melibatkan plaintif (Mujahid) menarik balik
samannya dan Kamarul Zaman menarik balik tuntutan balasnya selepas
beliau membacakan kenyataan di mahkamah," katanya.
Dalam kenyataan
itu, Kamarul berkata beliau kesal dengan penerbitan artikel itu dan
berjanji tidak akan menerbitkannya semula atau apa-apa kenyataan
seumpamanya.
"Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang
paksaan memohon maaf kepada Mujahid di atas penerbitan artikel itu,"
katanya.
Nik Hasmat kemudian membacakan penghakiman persetujuan susulan pembatalan saman.
Fitri berkata kedua-dua pihak setuju tiada ganti rugi dan kos yang perlu dibayar.
Mujahid sebelum ini memfailkan saman bernilai RM5 juta terhadap Kamarul berkenaan perkara itu.
Beliau kemudian menyatakan kesediaannya untuk menarik balik saman itu jika Kamarul membuat permohonan maaf secara terbuka.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment