Monday, November 19, 2018

Vigneswaran: Itu video lama, mungkin dia dah berubah

M Fakhrull Halim  |  
   
Biarpun berbeza fahaman politik, Presiden Dewan Negara S Vigneswaran hari ini tampil membela Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang kini dikecam susulan klip video lamanya yang dikatakan memburukkan nama negara.

Vigneswaran dalam sidang medianya di parlimen hari ini menyifatkan adalah tidak adil untuk menghukum Waythamoorthy atas video yang dirakam sepuluh tahun lalu. 

“Yang dia cakap tu lama dulu. Kita sekarang ni (jika mengadili Waythamoorthy), tidak adillah. Mungkin dia dah berubah pendirian sejak berkhidmat dalam kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Vigneswaran mengingatkan Waythamoorthy agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
“Dia cakap banyaklah dulu. Di India pun kita tak ada patung sebesar Dewa Muruga seperti di Batu Caves, sekarang baru ada. Kita aman damai.
“Menteri perpaduan mesti berhati-hati dalam apa jua kenyataan, kerana ia mungkin boleh menimbulkan kesan negatif,” katanya. 

Mengulas berhubung desakan agar Waythamoorthy meletakkan jawatan, Vigneswaran berkata beliau menyokong sesiapa saja yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat India.

“Untuk saya sebagai pemimpin masyarakat India, saya tak kisah siapa pun dia, asalkan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat India.
“Jika ada kelebihan kepada kaum India melalui Waythamoorthy pun ok lah. Kalau (boleh) dapat pertolongan melalui menteri, sangat bagus.
“Tapi kalau nak komen (tentang) dia, banyak yang ada (untuk dikomen), tapi saya tak mahu menggunakan platform ini (sidang media),” katanya lagi. 

Waythamoorthy sebelum ini dikecam berhubung klip video yang mengandungi wawancaranya dengan siaran TV luar negara.
Susulan penularan klip video itu, Waythamoorthy diasak dengan laungan ‘rasis!’ bertubi-bertubi daripada pemimpin Umno dan PAS di Dewan Rakyat.

Beliau kemudian tampil menjelaskan bahawa klip video berkenaan dirakam pada 2007 ketika negara di bawah pentadbiran BN, yang menurutnya, mengabaikan nasib masyarakat India di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Vigneswaran yang juga presiden MIC menyatakan keterbukaan partinya untuk bekerjasama dengan PAS. 

Isu itu timbul apabila Umno secara terbuka menghulurkan tangan kepada PAS untuk 'bersatu’ di Himpunan Perpaduan Ummah 17 Nov lalu.
“Ini negara membangun, politik kita kini semakin matang.
“Jika untuk kelangsungan parti, Umno dan Pas mahu bergabung, saya rasa itu terpulang kepada mereka.

“Jika DAP boleh selesa dengan Amanah, apa bezanya dengan PAS?” katanya lagi. 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment