MELAKA: Filem baru Datuk Shah Rukh Khan berjudul Don 2 yang sedang menjalani penggambaran di Sungai Udang, dekat sini, sejak Ahad lalu, bakal disaksikan berpuluh juta penduduk dunia apabila disiarkan serentak di 32 negara pada 23 Disember ini.
Ketika di temui di Bandar Baru Sungai Udang petang semalam, bintang terkenal Bollywood itu berkata, filem sambungan Don bercorak aksi, bakal memaparkan tiga lokasi di negara ini iaitu Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi.
"Penggambaran di Melaka mengambil masa antara lima hingga enam hari sebelum disambung pula di Kuala Lumpur dan Langkawi.
"Filem ini dijadual ditayang serentak di 32 negara pada sambutan Krismas ini dan kita jangka mendapat sambutan hebat," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di lokasi penggambaran filem di Bandar Baru Sungai Udang.
Selain Shah Rukh, filem ini turut dibintangi artis terkenal, Priyanka Chopra, Lara Dutta, Boman Irani, Kunal Kapor dan Nawab Shah.
Seorang bintang filem tanah air, Adiputra turut diberi peluang untuk beraksi dalam filem ini.
Mengulas lanjut, Shah Rukh berkata, beliau memilih Melaka untuk mengadakan penggambaran filem terbarunya itu sebagai menunaikan janjinya kepada Kerajaan Melaka ketika datang ke negeri ini tahun lalu.
Pelakon itu sebelum ini menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) Kehormat yang membawa gelaran Datuk sempena hari keputeraan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-70 pada Oktober 2008.
Shah Rukh sebelum ini pernah menjalani penggambaran filem di pantai Tanjung Bidara menerusi filem One 2 Kar 4 pada 2001. MELAKA: Filem baru Datuk Shah Rukh Khan berjudul Don 2 yang sedang menjalani penggambaran di Sungai Udang, dekat sini, sejak Ahad lalu, bakal disaksikan berpuluh juta penduduk dunia apabila disiarkan serentak di 32 negara pada 23 Disember ini.
berita harian
No comments:
Post a Comment