Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan saman sivil ke atas polis berhubung kecederaan yang dialaminya ketika mengawal keselamatan ketua pembangkang itu.
Tulang pipi Fayyahd Afiq Albakqry, 25 dikatakan retak dan hancur semasa peserta perhimpunan BERSIH 2.0 itu melarikan diri daripada asakan dan serangan polis di terowong KL Sentral pada 9 Julai lalu.
Beliau terpaksa menjalani pembedahan pembinaan semula tulang pipinya menggunakan titanium, baru-baru ini.
"Bagaimanapun, saman sivil itu adalah berasingan daripada prosiding jenayah yang akan dimulakan ke atas polis,” kata peguam N Surendren yang bertindak bagi pihak Fayyahd.
Masih trauma
Surendren yang juga naib presiden PKR mengiringi Fayyadh membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung dakwaan kejadian itu sehingga menyebabkan kecederaannya.
Menurut Surendren, pengawal peribadi itu masih dalam trauma dan enggan melayan soalan wartawan.
Katanya, tindakan keterlaluan polis cuba menyuraikan peserta BERSIH 2.0 tempoh hari boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.
"Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
"Polis langgar prosedur ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam dan tembak tanpa memberi amaran.
“Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam," katanya.
Pada kejadian itu, Anwar juga dilaporkan cedera akibat terjatuh semasa melarikan diri akibat terkena tembakan gas pemedih mata dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.
Turut hadir pada hari ini adalah peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment