Saturday, July 2, 2011

Tindakan terancang polis bolehkan penahanan besar-besaran- PSM

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia percaya tuduhan terhadap parti itu, kononnya terlibat dengan kegiatan komunis merupakan tindakan terancang polis dengan niat mewujudkan ‘musuh bayangan’ dan suasana darurat.

Setiausaha nya, S Arutchelvan berkata, ia bagi membolehkan penahanan besar-besaran sekaligus menggagalkan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual pada 9 Julai ini.

“PSM sesungguhnya percaya dan sedar bahawa tuduhan ke atas PSM hanyalah tindakan terancang pihak polis untuk mewujudkan musuh bayangan dengan niat untuk mewujudkan satu suasana darurat.

“Ia membolehkan pemerintah melakukan penahanan besar-besaran untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang telah mendapat sokongan yang begitu memberansangkan dari rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat PSM hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mendakwa PSM mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung dan menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pembohongan itu, kata Aru, digunakan untuk menangkap 30 peserta yang terlibat dalam kempen Udah Lah- Bersara lah yang dianjur PSM pada 24 hingga 26 Jun lalu. Antara yang turut ditahan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar.

Kesemua mereka, ditahan reman selama 7 hari di bawah seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agung.

Tuduhan seumpama itu adalah kali kedua digunakan dalam tempoh 10 tahun, selepas tragedi berdarah di Bukit Jenalek oleh Kumpulan Al Maunah pada 2000.

“Kenyataan pihak berkuasa dan dakwaan ke atas aktivis PSM adalah tidak berasas, tidak masuk akal, pembohongan, bermotifkan politik dan sandiwara. Oleh yang demikian, PSM meminta kesemua mereka dibebaskan serta merta dan pihak kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini,” tegasnya.

Menurut Aru, PSM berasa lucu dengan cubaan Umno BN mengaitkan PSM dengan komunis hanya kerana terjumpanya beberapa baju-T dan bahan-bahan dengan imej pemimpin komunis seperti Che Guevara.

“Untuk makluman polis, semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunis China, Vietnam, Cuba dan lain-lain,” katanya.KD

No comments:

Post a Comment