Wednesday, August 24, 2011

PKR syak pengundi pos boleh mengundi dua kali

Ogos 24, 11

PKR hari ini menimbulkan satu lagi kesangsian bahawa terdapat pengundi pos yang mengundi dua kali memandangkan masih terdapat pengundi yang disenaraikan dalam daftar pengundi, walau Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyatakan sebaliknya.

Ahli parlimen Batu, Tian Chua mendakwa sekurang-kurangnya 34 nama pengundi pos yang dikatakan telah dikeluarkan daripada kawasan tersebut dikesan masih tersenarai sebagai pengundi untuk kawasan berkenaan mengikut data di laman web SPR.

Katanya, nama berkenaan sepatutnya telah dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana pengundi tersebut telah bertukar alamat.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau mendapat tahu perkara itu ketika membandingkan daftar pemilih terkini bagi suku ketiga 2011 dengan senarai pemilih yang dihantar kepadanya oleh SPR.

Beliau memberi contoh, seorang pengundi bernama Shakira Ismail yang memegang kad pengenalan bernombor 680820025644.

Tian berkata, pengundi yang merupakan isteri kepada seorang memegang kad pengenalan bernombor IKD1092267 itu disenaraikan sebagai pengundi kawasan Batu, tetapi tidak dalam senarai yang dibekalkan kepadanya oleh SPR.

"Di Setiawangsa ada 115 nama (seperti ini) dan di Wangsa Maju ada 20 nama. Kita tidak semak untuk seluruh negara, hanya tiga kawasan ini saja (tetapi) sudah ada banyak masalah," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Katanya lagi, SPR tidak membekalkan alamat baru untuk senarai pengundi yang telah dikeluarkan daripada kawasan masing-masing.MK

No comments:

Post a Comment