KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Sepuluh kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor telah dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti, berdasarkan daftar pemilih kotor yang disediakan oleh SPR dengan kerjasama JPN.
Malah lebih jauh dari itu, berdasarkan daftar pemilih kotor yang membabitkan pengundi klon atau pengundian bertindih, BN juga sudah mampu menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pada PRU Ke-13 akan datang.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa berkata, pihaknya mempunyai data yang cukup mengenai perkara itu dan jelas menunjukkan bilangannya yang cukup besar.
"Dari data yang kami miliki itu, didapati jumlahnya memang amat besar, malah suduh cukup untuk membolehkan BN menumbangkan Selangor dengan mudah dalam pilihanraya akan datang," katanya kepada Harakahdaily.
Kewujudan daftar pemilih kotor itu, menurutnya, jelas membuktikan permainan politik kotor Umno BN di negara ini bagi mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya.
Katanya, permainan kotor itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara tersusun dan terancang.
"Kerjasama itu pula dilipatgandakan lagi setelah Menteri Dalam Negeri meminta kedua-dua agensi itu mempertingkatkan kerjasamanya baru-baru ini," katanya.
Dalam konteks Selangor pula, ia sealiran dengan arahan Perdana Menteri agar Umno BN melakukan apa sahaja bagi membolehkan parti itu merampas balik Selangor dari Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang.
Untuk mengetahui kewujudan pengundi klon itu, Pemuda PAS berjaya mengesaninya setelah mengakses beberapa data pemilih menerusi laman web SPR dan JPN.
Sebahagian hasilnya turut didedahkan menerusi media untuk pengetahuan orang ramai yang sekali gus untuk memberikan peluang kepada SPR dan kerajaan BN membetuli kesilapannya.
Namun setelah permainan kotor itu berjaya dikesan, beliau menjelaskan, server JPN kini amat sukar diakses untuk mengesani pengundi-pengundi klon dan ia diyakini mempunyai muslihat tertentu berhubung dengannya.
"Inilah yang menimbulkan persoalannya. Jika sebelum ini server JPN tidak mempunyai masalah, kenapa pula sekarang 'down' pula sehingga sukar untuk diakses oleh orang ramai?" ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya memberikan masa selama 14 hari kepada SPR dan JPN untuk membetuli kesilapan itu dan sekiranya tidak, pendedahan demi pendedahan yang melibatkan permainan politik kotor Umno BN, SPR dan JPN akan terus dilakukan oleh pihaknya secara berterusan.Harakahdaily
No comments:
Post a Comment