27/07/12
BUKIT MERTAJAM - Anggota Parlimen Padang
Serai N. Gobalakrishnan hari ini didenda RM5,000 atau enam bulan penjara
oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menghalang tugas penjawat awam
pada 2009.
Majistret Mohd Azhar Hamzah membuat keputusan itu setelah mendapati
pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap fakta
kes serta mengambil kira kepentingan awam.
Mohd Azhar berkata hukuman yang dikenakan terhadap Gobalakrishnan perlu
dijadikan pengajaran oleh tertuduh serta orang ramai.
Gobalakrishnan didakwa menggunakan kekerasan menghalang Sub Inspektor M.
Karunamuthi daripada menjalankan tugasnya di hadapan Institut Kemahiran
Belia Negara (IKBN) di sini pada 11 pagi 17 Ogos 2009.
Dia dikatakan mengingkari arahan polis dengan menggunakan alat pembesar
suara serta melaungkan kata-kata berunsur provokasi termasuk menghambur
kata-kata kesat terhadap polis.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara dua tahun atau denda.
Selain itu, katanya, Gobalakrishnan juga mempunyai rekod kesalahan sama
dan dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret George Town pada
2010.
Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di luar mahkamah berkata
beliau akan mengemukakan rayuan bagi mengenepikan hukuman itu yang akan
difailkan oleh peguamnya Saiful Ambar Abdullah Ambar hari ini.
Anggota Parlimen bebas itu yang mengumumkan keluar daripada Parti
Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun lepas juga berkata beliau akan terus
berkhidmat untuk pengundi Padang Serai melalui Pekemas, sebuah badan
bukan kerajaan. - Bernama
Gambar fail
No comments:
Post a Comment