Friday, July 27, 2012

Kes Altantuya: Kementerian Luar Negeri patut layan wakil Mongolia


(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 27 Julai: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne mencadangkan Kementerian Luar Negeri menjadi hos sempena ketibaan wakil kerajaan Mongolia ke negara ini bagi membongkar semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
 
Kedatangan Kementerian Hal Ehwal Luar & Perdagangan dan Kementerian Keadilan Mongolia itu adalah sebagai pemerhati pendengaran semula rayuan dua bekas pegawai khas Najib Razak yang dijatuhi hukuman mati, iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar Ogos ini.

“(Kerajaan) Mongolia tidak membuka kedutaan di Malaysia, hanya pejabat konsulat. Di konsulat, pegawai tidak ramai. Sebab itulah diperlukan wakil Kementerian Mongolia datang ke Kuala Lumpur dari Ulan Bator.
“Demi menjaga imej negara, Kementerian Luar sepatutnya menjadi hos kepada wakil kerajaan Mongolia,” katanya dihubungi.
Menurut Gwo Burne, selain wakil dua kementerian berkenaan, kerajaan Mongolia turut menghantar penyiasat jenayah bagi memerhati penghakiman Mahkamah Malaysia berhubung kes pembunuhan rakyatnya.
“Ya, mereka tahu, hadir sebagai pemerhati tidak akan mempengaruhi keputusan kes. Jadi, kedatangan wakil ini untuk memantau. Mereka perlu beri penjelasan pada rakyat Mongolia bila pulang nanti,” kata Gwo Burne.

Jelas beliau, isu pembunuhan Altantuya sebelum ini hangat diperkatakan di media Mongolia. Ia dilaporkan di akbar dalam talian antaranya gogo.mn dan ubpost.mongolnews.com.

“Kerajaan Malaysia mesti beri kerjasama yang baik,” katanya.
Altantuya dibunuh secara kejam apabila mayatnya diletupkan menggunakan bom C4 di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam 18 Oktober dan 19 Oktober 2006.
Beliau adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian Scorpene dan turut dikait mempunyai hubungan dengan Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dua anggota Unit Tindakan Khas dan pengiring kepada Najib, Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya.
Hakim dalam kes perbicaraan itu tidak memutuskan motif pembunuhan.
Mahkamah Rayuan di hadapan Timbalan Pendaftar, N Kanageswari 9 Mac lalu menetapkan 27 dan 28 Ogos depan bagi pengurusan kes rayuan kedua anggota polis tersebut.
Short URL: http://www.keadilandaily.com

No comments:

Post a Comment