(Aliff Fikri)
KLANG 25 Julai: Kerajaan Barisan Nasional digesa menghentikan taktik
kotor mereka menipu rakyat dengan menjadikan Ummi Hafilda sebagai agen
menyampaikan fitnah, kata Aktivis KEADILAN, Raja Kamaruddin Raja Abdul
Wahid atau lebih dikenali ‘Raja Komando’.
“Jangan bodohkan rakyat dengan budaya fitnah…Rakyat tidak bodoh untuk
menerima bulat-bulat dakwaan mereka yang sengaja direka untuk memalit
imej negatif kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
“Ummi Hafilda ini bukannya aset untuk Umno tapi dah jadi liabiliti
yang merugikan mereka sendiri.
“Kita di KEADILAN mahukan ‘fair fight’ bukannya lawan dengan fitnah,
perbuatan keji memfitnah orang dan mengaibkan adalah kerja orang yang
cetek pengetahuan agamanya dan ia jelas bertentangan dengan ajaran
agama,” katanya pada sidang media di rumahnya di Taman Sri Andalas
Klang, hari ini.
Hadir sama, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman Huri
dan beberapa pejuang reformasi 1998.
Beliau juga menafikan tuduhan Ummi Hafilda yang mendakwa beliau
dilantik Pengerusi Syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sebagai
ganjaran menjadi ‘saksi palsu’ dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 14
tahun lalu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan palsu ini. Saya tidak pernah
menjadi Pengerusi KSSB dan tidak pernah mendapat apa-apa ganjaran
projek pasir di Selangor seperti yang diperkatakan oleh Ummi. Dari mana
dia dapat cerita mengarut bahawa saya dapat tender melalui saluran yang
sah,” kata Raja Komando.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Klang Jumaat lalu ke atas Ummi
dan Umno Online kerana memfitnahnya.
“Tujuan saya buat laporan untuk mencari kebenaran dan tidak mahu
budaya fitnah ini berleluasa dan demi membersihkan nama saya.
“Saya juga akan menyaman beliau dan Umno Online dalam tempoh
terdekat. Saya akan lakukannya, ini janji seorang reformis,” tegas Raja
Komando.
Ummi Hafilda sebelum ini menuduh Raja Kamaruddin menjadi Pengerusi
KSSB sebagai ganjaran membantu dalam kes Anwar pada 1998. Kenyataan ini
disiarkan laman sesawang pro Umno – sahabatgunung.com.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment