6 Ogos 2012
TAIPING – Hampir 2,000 penduduk setinggan di tanah rezab Keretapi Tanah
Melayu Berhad (KTMB) Larut Matang Selama (LMS) di sini nekad tidak akan
keluar mengundi pada pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekiranya
Kerajaan Negeri tidak mengotakan janji.
Pengerusi Badan Bertindak Setinggan KTM Larut Matang Selama (LMS),
Idris Ismail,52, berkata, mereka telah dijanjikan untuk tinggal di rumah
mampu milik di Kampung Tersusun, Kurnia Jaya Tambahan, Kamunting namun
sehingga kini janji itu belum terlaksana.
Menurutnya, sejak dari tahun 2008 mereka telah bersetuju untuk mendiami
rumah terbabit namun permintaan mereka tidak diendahkan.
"Sebelum ini, seramai 339 ketua keluarga telah bersetuju keluar dari
tanah rezab KTMB setelah dijanjikan tapak rumah yang tidak perlu dibayar
apa-apa caj di kemudian hari.
“Namun setelah persetujuan dicapai, mereka diminta membayar RM1,500
sebagai premium tanah dan upah sukat tidak termasuk tambak tanah merah
yang menelan kos lebih RM8,000 dan sekurang-kurangnya RM50,000 lagi
untuk membina rumah setingkat.
Katanya, mereka dahulunya tinggal di atas tanah rezab KTMB termasuk
dari Air Kuning, Larut Tin, Kamunting dan Pondok Tanjung bersetuju untuk
pindah bagi memberi laluan kepada projek Landasan Berkembar Elektrik
Ipoh Padang Besar yang dijangka siap pada 2013 ini.
“Justeru jika tidak ada apa-apa tindakan dan pindaan kami nekad tidak
akan keluar mengundi atau undi lebih 2,000 penduduk akan berpindah
kepada parti lain.
“Kami merasa teraniaya dan mereka akan menerima balasan di atas apa
yang mereka lakukan terhadap penduduk setinggan di sini,” katanya.
Tempoh pembinaan dua tahun
Setiausaha Badan Bertindak Setinggan KTM LMS, Ismail Mohamad, 65,
berkata, melalui surat yang diterima daripada Kementerian Pengangkutan
pada Oktober tahun lalu, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan sudah
bersetuju untuk menimbus kawasan berpaya berkenaan untuk pembinaan
Rancangan Kampung Tersusun yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri
bagi penempatan 339 keluarga di atas tanah seluas 117 ekar.
Malah katanya, kementerian juga bersetuju memberi sumbangan kepada
setiap keluarga setinggan sebanyak RM1,000 serta bayaran sewa rumah
RM300 setiap sebulan selama 24 bulan bermula Julai 2008 sehingga Jun
2010.
Menurutnya, jika mengikut perjanjian asal, Kerajaan Negeri telah
menetapkan tempoh pembinaan maksimum iaitu selama dua tahun sahaja bagi
membina Projek Penempatan Rakyat (PPR), namun sehingga kini cuma ada
tanah kosong yang belum ditambak sepenuhnya dalam tempoh yang sudah
melebihi 4 tahun.
“Kepada siapa lagi kami hendak mengadu apabila luahan dan rintihan kami
tidak diambil tindakan serius, jika kami semua adalah golongan jutawan
tidaklah kami merempat sebegini,” katanya.
Gesa campur tangan
Penduduk, M.Ramachandran, 65, berkata, dia berharap kepimpinan
tertinggi campur tangan dalam urusan ini agar seluruh penduduk Setinggan
menerima hak mereka seperti yang telah dijanjikan.
“Kita cuma menuntut hak setelah bersetuju memberi laluan kepada
pembangunan dan sebagai balasannya kerajaan perlulah menunaikan janji
mereka.
“Pemberian yang dikatakan akan diberi secara berperingkat tidak
dilaksanakan dengan baik dan mengikut jadual yang berkesudahan dengan
penduduk menerima kesannya,”katanya.
Bendahari Badan Bertindak Setingan KTM LMS, Himatalaman, 25, berkata,
masalah ini telah lama berlarutan dan pelbagai janji dikeluarkan agar
penduduk setinggan bertenang, tetapi sehingga kini kami tidak melihat
apa-apa perkembangan.
“PRU 13 ini kita akan sama-sama saksikan kebangkitan rakyat yang sudah
letih dengan permainan pihak-pihak yang berkenaan dan akan berusaha
mengubah nasib semua penduduk setinggan ini supaya diberi perhatian oleh
pihak yang berjanji.
“Bagaimanapun, kita masih memberi peluang kepada pihak yang terlibat
untuk turun padang bagi selesaikan masalah ini,” katanya.
Segerakan urusan penempatan
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Azemi Kasim dalam
kenyataan bertulis kepada penduduk baru-baru ini menegaskan,
memandangkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan
telahpun melaksanakan tanggungjawab yang dipersetujui dengan Kerajaan
Negeri, maka wajarlah Pegawai Daerah mempercepatkan urusan penempatan
semula dengan menggunakan peruntukkan yang telah disumbangkan oleh
Kementerian Pengangkutan.
“Namun disebabkan kelewatan Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan di
kawasan penempatan baru maka atas permintaan Pegawai Daerah ketika itu
bersetuju melanjutkan sumbangan sewa rumah selama 24 bulan lagi iaitu
bersambung dari Julai 2010 sehingga Jun 2011,” katanya.
Berdasarkan persetujuan asal, Kementerian Pengangkutan tidak
menyediakan rumah kepada penduduk setinggan namun telah menyumbang
sebanyak RM11 juta kepada Kerajaan Negeri bagi kos pembinaan penempatan
semula setinggan.
Terima secara berperingkat
PegAwai Daerah Larut Matang, Datuk Harun Rawi berkata, semua setinggan
yang layak akan menerima tanah tapak rumah secara
berperingkat-peringkat.
Menurutnya, kebanyakkan mereka akan ditempatkan di kampung Kurnia Jaya
Tambahan, Kamunting manakala selebihnya di Pondok Tanjung, Air Kuning
dan Larut Ulu.
Beliau menegaskan kerja menambak tanah perlu ditanggung sendiri oleh
setinggan.
Katanya, peruntukkan Kementerian Pengangkutan bukan RM11 juta tetapi
hanya RM8 Juta yang sudah digunakan untuk menyediakan prasarana dan
membina 20 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diKurnia Jaya Tambahan untuk setinggan yang berpendapatan kurang daripada
RM400 sebulan.“Bagi hak milik pula, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Larut Matang dan
Selama sudah dan sedang dalam proses menyediakan kelulusan hak milik
melalui borang 5A dengan syarat setinggan membayar premium dan upah
sukat berjumlah lebih RM1000,” katanya.
No comments:
Post a Comment