(Oleh
Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 7 Ogos: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
berkata, beliau tidak terkejut dengan keterangan yang diberikan Datuk
Seri Shahrizat Jalil pada perbicaraan kes saman isu Pusat Fidlot
Nasional (NFC).
“Kita memang sudah jangka, beliau (Shahrizat) akan beri keterangan
begitu, jadi kita tak terkejut,” katanya.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hadir
ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam sebagai saksi pertama kes saman
beliau berjumlah RM100 juta terhadap Rafizi dan Ketua Wanita KEADILAN,
Zuraida Kamaruddin berhubung isu skandal NFC.
Shahrizat dalam keterangannya memberitahu hakim kononnya Rafizi dan
Zuraida telah memfitnah beliau sehingga menjatuhkan nama dan
reputasinya.
“Shahrizat bercerita di hadapan hakim seolah-olah kita (KEADILAN)
yang memiliki Utusan dan TV3 dengan memberi gambaran bahawa kita yang
mempengaruhi keseluruhan perspektif rakyat,” jelas Rafizi.
“Tapi yang sebenarnya, rakyat sendiri sedar dan dapat membezakan
penyelewengan itu, kerana kita ada bukti dan rakyat marah kerana mereka
tahu penyelewengan itu melibatkan kepentingan awam,” katanya.
“Kita tunggu dan lihat saja sebab peguam kita akan mengupas lebih
lanjut semua bukti dalam kes ini,” kata Rafizi lagi.
Shahrizat memfailkan saman itu 19 Januari lalu berikutan pendedahan
KEADILAN berkaitan dana RM250 juta untuk penternakan lembu itu disalah
guna keluarga beliau.
Ia termasuk membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua
lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi meragukan.
NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh
Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di
dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang
memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham
‘preference’ dipegang kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Zuraida turut mengulas keterangan Shahrizat yang
banyak memberi gambaran kehebatan perjalanan karier beliau dan sering
mengulangi ayat, “saya dianiaya dan dizalimi”.
“Perlu diingatkan, kalau latar belakang beliau begitu bagus, kita tak
akan berada di sini hari ini,” kata Ahli Parlimen Ampang itu sinis.
Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan perbicaraan seterusnya
Jumaat ini untuk keterangan balas.
Rafizi diwakili Leela Jesudasan dan Ranjit Singh sebagai peguam,
manakala Gopal Sreenavasan dan Razlan Hadri bertindak sebagai peguam
Zuraida.
Turut hadir memberi sokongan, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Tian Chua dan Setiausaha Agung, Datuk
Saifuddin Nasution Ismail.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment