Harakahdaily
Harakahdaily, | 07 Ogs 2012 |
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Menteri
Kewangan wajar membuat penjelasan rasmi terhadap tatacara penganugerahan
tender projek tambahan LRT Aliran Ampang yang bernilai RM955,840,000.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan penjelasan itu untuk
dinilai oleh rakyat dan seterusnya kepada penubuhan Jawatankuasa
Terpilih Parlimen bagi mendengar pandangan pakar dan suara rakyat selaku
pihak berkepentingan utama (key stakeholder) di dalam projek
infrastruktur mega tersebut.
Naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss menyatakan demikian merujuk
kepada laporan akhbar The Edge bertarikh 6 Ogos lalu yang berkongsi
kerisauan yang dibangkitkan beberapa pakar dan profesional industri
pembinaan terhadap tatacara penganugerahan kontrak dan sub-kontrak yang
dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, secara prinsipnya, setiap pemerolehan (procurement)
kerajaan dibuat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Kepentingan ini dapat dijamin melalui pelaksaaan sistem tender
secara terbuka untuk mendapatkan pilihan kos yang optima (best pricing)
oleh kontaktor yang paling layak dari aspek teknikal dan kewangan
(technically and financially competent),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, DPPM melahirkan rasa kesal terhadap tatacara
penganugerahan tender projek tambahan LRT Aliran Ampang, yang bernilai
RM960 juta oleh kerajaan Pusat terhadap Konsortium George Kent
(Malaysia) – Lion Pacific yang dipersoalkan nilai integritinya, selepas
Konsortium George Kent dilaporkan berjaya mengalahkan pembida-pembida
lain yang ternama.
Lebih merisaukan, ujarnya DPPM turut berkongsi pandangan dengan
beberapa pakar dan profesional di dalam sektor pembinaan infrastruktur
teknikal yang berskala besar ini terhadap proses sub-kontrak yang akan
dilaksanakan pihak Konsortium George Kent selepas ini.
Katanya, difahamkan daripada laporan akhbar The Edge, hampir 70% -
80% kerja-kerja yang terlibat dalam projek mega ini akan disub-kontrak
kepada syarikat-syarikat lain, khususnya pakej-pakej teknikal yang agak
rumit.
Beliau menambah, tidak dapat dinafikan, proses sub-kontrak adalah
amalan biasa di kalangan kontraktor utama namun ia biasanya dilaksanakan
pada kadar 30%-40% daripada skop kerja.
Namun, ujar beliau apabila pemberian subkontrak melebihi 50% daripada
skop kerja terlibat, ia akan membawa risiko terhadap penyampaian projek
(project delivery) dari aspek peningkatan kos, kelewatan masa, dan
kualiti akhir projek.
“Ini dilihat seperti mengesahkan persoalan pakar dan rakyat terhadap
kemampuan Konsortium George Kent untuk melaksanakan projek mega ini,
selain menafikan usaha transformasi kerajaan yang mahu menghapuskan
budaya ‘kontraktor alibaba’ yang mengaut keuntungan percuma.
“Budaya ‘know-who, not know-how’ adalah punca utama ketirisan
kewangan negara yang menjurus kepada defisit tahunan berturut-turut
Kerajaan Persekutuan hampir 14 tahun,” ujarnya.
Justeru, kata beliau DPPM menggesa semua pihak yang terlibat,
khususnya Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, SPAD dan Prasarana
untuk mengambil langkah segera bagi memastikan tatacara tender terbuka
dipatuhi semua pihak terlibat, tanpa menggadaikan risiko keselamatan
pengguna LRT Aliran Ampang apabila siap kelak.
No comments:
Post a Comment